Merekalah ‘Political Chameleons’ Menunggang Agama, Bangsa… Bukan UMNO, Tegas Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tegas berkata UMNO bukan ‘political chameleons’ atau ‘mengkarung politik’ sepertimana tindakan sebuah parti yang sering menunggang agama mengikut kepentingan politik mereka semata-mata.

Ini kerana katanya yang juga Timbalan Perdana Menteri, ada pihak lawan yang cuba memainkan sentimen kononnya kerjasama politik UMNO bersama parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan akan menghakis kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera.

“Kita tetap mempertahankan empat perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Kita biasa mendengar ayat-ayat Allah dijadikan sandaran untuk mereka mengeluarkan pelbagai fatwa politik mengikut kepentingan.

“Dalam soal Melayu, kita mendengar fatwa politik tentang assabiyah. Kini merekalah kononnya penyelamat Islam dan Melayu. Dalam soal hudud, kita pernah dikafirkan dan kemudian atas kepentingan kerakusan politik mereka, disebut pula hudud bukan keutamaan. Semasa mereka berada di dalam kerajaan, mana perginya agenda Rang Undang-Undang (RUU) 355?” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib-naib Presiden Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan; Datuk Seri Johari Abdul Ghani, barisan Ahli Majlis Kerja Tertinggi dan perwakilan dari seluruh negeri.

Jelas Ahmad Zahid, Allah juga telah mengingatkan di dalam firmanNYA di dalam surah al-Baqarah ayat 41 yang menggambarkan golongan sedemikian menggunakan ayat-ayat al-Quran demi kepentingan mereka sahaja.

“Peringatan Allah ini, cukup untuk menggambarkan golongan yang memperdagangkan ayat-ayat Allah berselindung di sebalik kepentingan politik sempit mereka.

“Benarlah, mereka adalah ‘mengkarung politik’ yang bukan sahaja berubah warna dan wajah tetapi lebih dahsyat, parti ini seolah-olah, menjadi pemegang neraca di ‘yaumul mahsyar,” katanya.

Ulasnya lagi berkaitan tuduhan kononnya perjuangan UMNO dalam membela bangsa Melayu hanyalah kosmetik sahaja.

“Kita juga biasa mendengar tuduhan kepada UMNO yang kononnya berselindung di sebalik nama Bumiputera.

“Akan tetapi, tidak sampai pun dua tahun di puncak kuasa, Bumiputera yang kononnya menjadi agenda perjuangan mereka telah di’Jana Wibawa’kan. Inilah ciri-ciri pengkhianat yang membalut dirinya dengan slogan Bersih dan Stabil, kononnya,” bidasnya.

Begitu juga katanya dalam soal kalimah Allah, mereka gegak-gempita cuba menjadi juara dengan menyelewengkan fakta kononnya kerajaan hari ini telah menggadai kalimah Allah.

“Hakikatnya, pendirian UMNO tidak berubah walau seinci pun. UMNO dan wakil di dalam kabinet walaupun tanpa perlu berkokok seperti ayam jantan dengan tegas menyatakan kalimah Allah tidak boleh digunapakai oleh agama lain.

“Alhamdulillah, penegasan kita ini juga menjadi pendirian Kerajaan Perpaduan. Berbanding dengan mengkarung politik yang menunggang agama suatu ketika dahulu… mengatakan tidak salah untuk agama lain menggunakan kalimah Allah.

“Apa pun hujah mereka, yang jelas dan nyata mereka akan menukar kulit mengikut suasana. Melayu dan Islam bagi mereka hanya topeng yang digunakan dalam persembahan politik. Sedarlah, Melayu dan Islam bukan topengan. Melayu dan Islam punya santun dalam tindakan, hemah dan sopan dalam pertuturan,” katanya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.