SUA Pesan Jadikan PAU 2023 Medan Pertautkan Kembali Ukhwah Selepas Pemilihan

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 yang berlangsung kini adalah julung kali diadakan selepas berlakunya pemilihan UMNO pada Mac lalu.

Lantaran itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengajak para perwakilan dan anggota parti untuk mempertautkan kembali ukhwah bagi memperkasakan parti.

“Umum mengetahui bahawa ini merupakan perhimpunan yang pertama setelah berakhirnya proses pemilihan parti 18 Mac 2023. Marilah kita jadikan persidangan ini medan untuk mempertautkan kembali ukhwah, memperatkan hubungan silaturrahmi dan merapatkan saf perjuangan untuk sama-sama memperkasakan parti.

“Bersama kita insafi akan amanah berat yang perlu dipikul untuk membawa semula bahtera UMNO ini agar terus gagah menongkah arus deras samudera perjuangan yang penuh gelora,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan laporan dalam PAU2023 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Katanya, ini masanya untuk menyemai semangat setiakawan berteraskan kasih sayang, kesetiaan dan nilai keikhlasan berorientasikan perjuangan.

“Tahniah kepada yang berjaya, kalah kekal setia.

“Pesan saya, jangan kita sambung amarah dan menyemarakkan lagi api kebencian lantaran kegagalan. Jangan kita mendabik dada berbangga dengan kemenangan memperolehi pinjaman kekuasaan. Jangan kita lupa untuk sama-sama menggali hikmah di sebalik setiap ketentuan,” katanya lagi.

Terdahulu beliau turut mengalu-alukan para perwakilan dan tetamu jemputan termasuklah parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) dan anggota parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan, seterusnya perwakilan dan pemerhati dari seluruh negara. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.