Berkibarnya Sang Saka Bangsa… Bermulanya PAU 2023

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Perhimpunan Agung UMNO 2023 membuka tirai secara rasminya dengan upacara menaikkan bendera ‘Sang Saka Bangsa’ di Plaza Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), pagi ini.

Upacara tersebut dimulakan dengan menaikkan bendera UMNO diiringi lagu Wanita, Pergerakan Pemuda diikuti Pergerakan Puteri UMNO yang disempurnakan oleh ketua masing-masing.

Wanita UMNO disempurnakan oleh Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Pergerakan Pemuda UMNO oleh Dr Muhammad Akmal Saleh manakala Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi bagi Pergerakan Puteri UMNO.

Ini kemudian disusuli dengan nyanyian lagu parti ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ dengan ‘Sang Saka Bangsa’ sempurna dikibarkan oleh Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang turut diiringi Timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Hadir sama menyaksikan upacara naik bendera adalah Ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Exco Wanita, Exco Pergerakan Pemuda dan Exco Pergerakan Puteri UMNO.

Semalam, persidangan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Malaysia telah berlangsung dengan jayanya, menunjukkan bahawa parti keramat Melayu ini masih dihati para perwakilan.

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 telah bermula pada 7 dan bakal berakhir pada 10 Jun ini, mengumpulkan para perwakilan daripada 191 bahagian seluruh Malaysia sebagai tanda manifestasi kepada semangat perjuangan parti yang tidak pernah luntur.

Terdahulu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa PAU pada tahun ini diadakan lebih awal kerana selepas itu akan diadakan sesi jelajah ke negeri-negeri yang akan berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan menggerakkan jentera. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.