UMNO Diperlukan Negara, Kebolehan Dan Kelebihan Tak Dapat Disangkal – Nurul Amal
KUALA LUMPUR, 8 Jun – Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi menegaskan bahawa UMNO masih lagi diperlukan dalam negara ini kerana kebolehan dan kelebihan yang tidak dapat disangkal.
Ujarnya, pengalaman pemimpin-pemimpin UMNO dalam mentadbir urus negara tidak boleh dipertikai.
“Sejarah pemimpin-pemimpin UMNO sebagai menteri-menteri yang memegang portfolio yang hebat dan penuh kredibiliti telah terbukti. Malah, mereka berjaya mengangkat kedudukan negara ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Jelas Nurul Amal, lihat saja pemimpin UMNO yang berada dalam kabinet sekarang mempunyai pengalaman dalam kerajaan sebelum ini.
“Khidmat bakti mereka terus diperlukan bagi membantu untuk mentadbir urus negara. Hal ini adalah satu kebanggaan buat kita, kerana sepertimana yang kita tahu, UMNO adalah rumah di mana lahirnya pemimpin yang berwibawa.
“UMNO adalah ‘binding factor’, kepada pembentukan kerajaan hari ini, kerana kita merupakan parti yang mempunyai asas berorganisasi yang stabil.
“Kendatipun begitu, kita bukanlah parti yang sempurna. Ada kekurangan dan kekhilafan yang terkadang tak terlepas. Yang dah berlalu, kita ambil pedoman, jadikan teladan. Kita tak mampu nak ubah sejarah, tapi kita boleh bangun mencipta masa depan yang baru, yang lebih baik dan cerah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Puteri UMNO di sini, hari ini.
Dalam masa yang sama beliau mengajak anggota perwakilan untuk memperhebat hala tuju.
“Marilah kita bersatu padu, bersama perhebat hala tuju. Kalau kain sudah bersih, jangan dibiar diinjak-injak; kita semua pemimpin dipilih, padu gerak kerja, menuju puncak.”
Lantaran itu beliau memaklumkan bahawa ntuk 12 bulan pertama ini, 3P akan dijadikan sebagai hala tuju Pergerakan Puteri iaitu; perpaduan. perhebat dan perkemas.
“Perpaduan dan merapatkan jurang di antara kita, dengan rakan kerjasama politik dan paling penting, minimumkan jurang pergerakan puteri dengan anak muda.
“Perhebatkan pemimpin dan ahli kita. Ketengahkan dan pastikan mereka berada di barisan hadapan sebagai sebagai jurubicara anak muda.
“Perkemaskan dan sesuaikan gerak kerja puteri mengikut trend dan keperluan semasa, maksimumkan penggunaan medsos, sebagai medium penyebaran maklumat dan isu,” katanya lagi. – UMNO Online