Dibadai Ombak Kuat Namun Politik Khidmat Skuad Sayang 3K Tetap Ditunai
KUALA LUMPUR, 7 Jun – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad merakamkan penghargaan kepada Skuad Sayang 3K atas peranan mereka yang terkehadapan dalam membantu rakyat.
Menurutnya, walaupun parti dibadai ombak kuat namun politik khidmat yang diamalkan selama ini, tetap ditunaikan kepada rakyat.
“Terima kasih kepada setiap anggota Skuad Sayang ini. Setiap individu telah memberikan kontribusi yang bererti dan memberikan warna tersendiri dalam perjalanan kita bersama.
“Kita tidak hanya tumbuh bersama, tetapi juga saling menginspirasi dan mendorong satu sama lain untuk mencapai impian dan tujuan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Anugerah Skuad Sayang 3k Kebangsaan yang diadakan di Dewan Tun Razak 4, Pusat Dagangan Dunia, petang tadi.
Majlis tersebut dihadiri Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Penasihat Skuad Sayang 3K Kebangsaan, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin.
Noraini yang merupakan Ahli Parlimen Parit Sulong dalam pada itu berkata pada ketika ini parti sedang bersedia untuk ke medan perang.
“Maka, saya kira skuad sayang ini harus bersiap sedia dalam apa jua situasi yang mendatang. Saya percaya dan yakin, skuad sayang ini sentiasa komited terutama dalam menyantuni rakyat kita yang merupakan senjata paling kuat kita.
“Saat kita berkumpul di sini, mari kita jaga hubungan kita dengan penuh kasih sayang, pengertian, dan dukungan. Mari kita mara melangkah kita dengan semangat penyatuan, persahabatan, dan kasih sayang yang tak tergoyahkan seincipun keyakinan kita terhadap perjuangan parti.
“Terima kasih kepada semua yang hadir di sini hari ini, baik anggota skuad sayang mahupun yang mendukung kita hari ini. Semoga ianya memberi momen berharga dan mengukuhkan hubungan kita sebagai skuad sayang yang tak tergantikan,” ujar beliau.
Skuad Sayang 3K merangkumi kesihatan, keselamatan dan kebajikan iaitu badan bukan kerajaan (NGO) di bawah naungan Wanita UMNO Malaysia.
Majlis tersebut juga turut menyaksikan penyampaian anugerah kepada tiga orang aktivis iaitu Ahli Dewan Negara, Datuk Ras Adiba Radzi; Pengasas Yang Dipertua PERNIM; Datin Norlina Alawi serta Eksekutif Direktor Securiforce, Datin Nur Sharmila Shaheen. – UMNO Online