PAU 2023: Seia Sekata Sebagai Satu Pasukan Untuk Kekuatan UMNO

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 yang hari ini yang melibatkan persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri perlu dijadikan pentas utama bagi menyampaikan suara akar umbi dan tunjang kekuatan parti.

PAU 2023 ini dimulakan semalam dengan Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sinioleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan.

Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong merangkap Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kota Melaka, Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata pengisian pada PAU ini cukup penting kerana ia adalah yang pertama selepas UMNO bersama dalam menubuhkan Kerajaan Perpaduan.

“Paling penting pengisian dalam perhimpunan ini adalah yang pertama atas dasar Kerajaan Perpaduan dan pastinya input diberikan dan luahan yang perlu didengarkan dan menjadi sebagai rujukan kepimpinan pada masa mendatang.

“Apa-apa pun yang berlaku selepas ini akan keluar dengan satu kata, satu pasukan dan kekuatan yang memastikan UMNO ini dipercayai di mata masyarakat dan rakyat khususnya. Paling penting harus memahami apa yang berlaku dan ‘move on’,” katanya.

Sementara itu bagi Ketua Puteri UMNO Putrajaya, Siti Salwa Shokri mengharapkan PAU ini dapat menyelesaikan segala kekusutan yang berlaku sebelum diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Saya mengharapkan pada PAU ini agar hal-hal dalaman parti ini dapat diselesaikan pada persidangan ini dan paling penting fokus pada enam PRN akan datang.

“Sekarang ini ramai anak-anak muda yang berkaliber dan harap dapat diberi peluang mengetuai serta calon bagi pilihan raya,” katanya lagi.

Dalam pada itu perwakilan dari UMNO Bahagian Kuala Lipis, Mohd Zakwan Abdullah mengharapkan PAU ini dapat menentukan hala tuju yang baharu selepas pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke -15.

“Saya percaya perhimpunan kali ini adalah lebih kepada perbincangan dan menentukan hala tuju baharu pasca PRU ke -15. Ahli-ahli UMNO yang ada sekarang ini cukup matang untuk melihat pembaharuan dan mahu melihat UMNO terus subur dan mendapat kepercayaan dari rakyat.

“PRN akan berlaku bila-bila masa maka PAU kali ini adalah salah satu usaha mengatur strategi bagi mendapatkan kepercayaan rakyat dengan kerajaan yang ada. Kita percaya rakyat menaruh harapan yang besar pada UMNO kerana parti ini sangat berjasa dan mempunyai ‘track record’ yang baik untuk mentadbir negeri yang akan diadakan nanti,” ujarnya.

Untuk rekod, PAU 2023 bermula pada 7 hingga 10 Jun dengan kehadiran 6,341 perwakilan seluruh negara dari 191 UMNO Bahagian dan mula membuat pendaftaran di WTCKL pagi ini. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.