UMNO 77 Tahun: Landasan Perjuangan Ulung Agama, Bangsa, Negara
TARIKH 11 Mei adalah manifestasi kepada keberadaan UMNO, tarikh ulang tahun penubuhan parti yang menjadi landasan perjuangan ulung demi agama, bangsa dan negara.
Tahun ini, usia UMNO 77 tahun selepas ditubuhkan pada tahun 1946. Melewati tujuh dasawarsa, UMNO adalah parti yang mempunyai struktur mantap, organisasi tersusun, ada Perlembagaan dan peraturan serta sentiasa patuh pada perundangan Akta Pertubuhan.
Asas penubuhan dan perjuangan UMNO tidak pernah berubah biarpun usianya telah 70 tahun. Sebagaimana lahirnya, begitulah UMNO kini iaitu, perjuangannya UMNO masih lagi berteraskan kepada mendukung cita-cita kebangsaan demi mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa dan negara.
Istiqamah dalam mempertahankan perjuangan UMNO, parti yang mempelopori semangat kebangsaan sejak 1946, menggerakkan semangat kemerdekaan, menerajui perjuangan untuk kedaulatan dan tetap melaksanakannya sepenuh tanggungjawab, secara telus dan berpaksikan kebersamaan dalam parti serta menjunjung Perlembagaan UMNO.
Dalam menyorot kembali apa yang telah berlaku sepanjang perjalanan usia UMNO, sememangnya ia menggariskan perjalanan yang panjang bukan hanya untuk parti tetapi juga dalam kebangkitan sebuah negara bernama Malaysia.
Cabaran dan pelbagai krisis diterjang dengan suka duka termasuklah peristiwa perit menyusutnya sokongan rakyat yang diterjemah melalui pengundian dalam Pilihan Raya Umum (PRU).
Namun UMNO mendepani dengan kematangan, biarpun duka namun ia diaplikasi dengan memperbaiki kesilapan, mengurai kekusutan, belajar dari kesilapan dengan berani mengakuinya biarpun ternyata pahit tetapi atas nama kebenaran maka kealpaan lalu menjadi tauladan.
Keanggotaan UMNO enggan mengalah, berdepan dengan cabaran dan krisis adalah lumrah namun bagaimana untuk mengurus dan menangani gelombang yang datang adalah keutamaan.
UMNO telah melalui pelbagai liku, mendepani laluan, menjadi sasaran manipulasi, provokasi dan persepsi yang diangkat menjadi realiti, menerima pelbagai tohmahan, difitnah dengan macam-macam perkara, diburukkan dengan cerita-cerita palsu sehinggakan apa-apa saja perkara negatif maka UMNO ditudingnya.
Serangan terhadap UMNO datang bertali arus bukan saja kepada parti tetapi juga kepimpinannya.
Getirnya laluan, peritnya perjalanan dan sukarnya berdepan dugaan semuanya diketepikan demi memastikan kelestarian UMNO. Biarpun kedudukan UMNO dan Barisan Nasional (BN) namun parti ini terus menjadi aspirasi dalam menerajui mandat bersama Kerajaan Perpaduan.
Sememangnya landskap politik negara berubah dalam melestarikan sebuah masa hadapan negara dan UMNO dalam kerajaan biarpun keputusan dalam PRU amat mendukacitakan.
UMNO menerjang perjuangan, anggotanya terus bekerja tanpa lalai kerana sedar bahawa sedikit kesilapan, natijahnya agama, bangsa dan negara menjadi bahana. Ampuhnya semangat perjuangan UMNO untuk terus bersemarak lantaran bersandarkan kekuatan sokongan dari akar umbi yang tidak pernah putus.
Kesatuan setiap anggota parti mendukung kebersamaan dalam meneruskan perjuangan, bukan sekadar memastikan kesinambungan UMNO terus teguh, tetapi apa yang penting adalah meneruskan penghayatan terhadap asas dan tujuan parti ini ditubuhkan untuk diselami oleh generasi muda dan akan datang.
Dalam usia 77 tahun UMNO, pasakkan tekad meneruskan kelevanan parti dulu, kini dan selamanya untuk ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’.
Selamat Ulang Tahun UMNO ke-77.
OLEH: ROPIKAH AHMAD
Editor UMNO-Online
****************************************