Annuar Pelawa Tun Mahathir Kembali Ke Pangkuan UMNO

KUALA LUMPUR, 24 Okt – Setiausaha Agung UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa hari ini membuat pelawaan kepada Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dan ahli-ahli PPBM untuk kembali ke pangkuan UMNO semula.

Beliau mengakui bahawa masih ramai ahli UMNO, termasuk dirinya sendiri yang masih sayang dan menghormati Tun dengan hati yang tulus ikhlas.

“Semalam Tun Dr Mahathir Mohamad membuat gesaan supaya ahli UMNO menyertai PPBM.

“Satu pelawaan yang mungkin jujur saya kira, terutama dengan situasi cemas PPBM sekarang”, katanya dalam satu kenyataan di sini.

Namun jelas beliau Tun Mahathir tentunya faham, ahli UMNO adalah orang Melayu yang amat setia dengan partinya.

“Inilah yang Tun tarbiyyah kepada kita.

“Lagipun, sangatlah merbahaya bagi ahli UMNO menyertai PPBM kerana PPBM tanpa Tun menjadi PM nanti, bakal lebih terhimpit lagi. Presiden PPBM juga tersangat uzur walau kita mendoakan kesihatannya pulih,” ujarnya.

Kata Annuar lagi, ahli-ahli UMNO selama ini telah bersama berjuang dan mempertahankan Tun Mahathir sehabis daya ketika 22 tahun beliau mengepalai parti tersebut.

“Kita berjuang bersama puluhan tahun, rebah berkali-kali membela Tun dan UMNO.

“Tinggal lagi kita berpegang kuat pada ajaran Tun sendiri supaya kita jangan berpecah, kita jangan tinggalkan parti, kita jangan sokong atau tunduk kepada DAP dan sebagainya”, kata beliau.

Perjuangan orang Melayu dan umat Islam serta rakyat Malaysia di bawah Tun tambahnya akan menjadi lebih stabil, kuat dan berkesan apabila Tun diperkasakan melalui wadah parti UMNO dan bukannya PPBM.

“Umat Melayu dan Islam akan lebih bersyukur sekiranya perkara ini benar-benar terjadi. Sirih pulang ke gagang, belut pulang ke lumpur,” ujarnya.

Dalam keadaan PPBM kini yang dilihat lemah dan kurang mendapat sokongan orang Melayu, beliau menjangkakan keadaan parti tersebut akan jadi lebih buruk sekiranya Datuk Seri Anwar mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

“Misalnya ahli UMNO di Negeri Sembilan, tentu sukar kerana PPBM di sana terpaksa dibubarkan. Begitu juga di negeri-negeri lain di mana PPBM sangat lemah, terlalu kecil dan tiada sambutan daripada rakyat.

“Di kawasan- kawasan itu, PPBM ditolak oleh rakyat dan kalah dlm PRU yang lalu. Kini, setelah banyak janji semasa PRU telah tidak tertunai, sudah pasti pengaruh PPBM semakin merosot lagi.

“Saya menjangkakan apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih pentadbiran negara, dan Tun sudah tiada lagi di dalam kerajaan, PPBM bakal bermasalah dan menjadi lebih parah lagi”, katanya.

Justeru tegas beliau walaupun lamaran dan pelawaan Tun kelihatan menggiurkan, terutama bagi wakil rakyat dan pemimpin yg kemaruk untuk mendapat kedudukan bersama dalam kerajaan, namun pelawaan itu jelas tidak menarik bagi majoriti ahli UMNO.

Tegas Ahli Parlimen Ketereh itu, adalah sukar untuk ahli-ahli UMNO meninggalkan parti tersebut memandangkan hari ini yang bermasalah di dalam UMNO adalah di kalangan pemimpin dan bukan ahli-ahlinya.

“Yang sering bermasalah dalam UMNO adalah pemimpinnya, yang bertukar parti adalah pemimpinnya, yang berebut kuasa adalah pemimpinnya, yang rasuah adalah pemimpinnya, dan diseret ke mahkamah adalah pemimpinnya.

‘Justeru ahli UMNO redha hilang pemimpinnya, namun mereka tidak menukar partinya. Sebab itu kita dapat lihat mesyuarat UMNO dengan hampir 200,000 perwakilan berjalan aman, tiada tumbuk menumbuk, tiada kerusi berterbangan dan FRU tidak perlu dipanggil campur tangan.

“Politik wang sudah dihapuskan dan kini politik wang menjadi amalan parti lain yang berhijrah dari UMNO. Justeru, pastinya amat sukar bagi ahli UMNO untuk menyertai PPBM,” jelasnya.-MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit