“Bina Jambatan Kecil Pun Tidak Mampu, Bagaimana Nak Buat Jambatan Bengkok?” – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 18 Okt – “Kerajaan Singapura pun tidak setuju dengan pembinaan jambatan bengkok jadi jambatan ni nak ‘landing’ di tanah mana…?” itu persoalan yang dikemukan oleh Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan berhubung cadangan untuk melaksanakan semula projek jambatan bengkok yang pernah menjadi agenda Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jelas beliau, kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan (PH) seharusnya mengutamakan keperluan rakyat daripada membazirkan wang untuk membuat sesuatu yang tidak berfaedah.

“Saya selaku anak Johor memang tidak setuju dengan projek ini. Sepatutnya kerajaan negeri Johor dahulukan keperluan rakyat antara contohnya ialah projek perumahan rakyat dan projek kesihatan… ini yang lebih utama.

“Dalam konteks terkini di kawasan saya ada tiga jambatan…, yang sudah roboh dua… ini jambatan rakyat. Saya sudah dapatkan peruntukan satu jambatan RM1.5 juta dan satu lagi RM1.6 juta, sudah lulus tetapi tiba-tiba tak diteruskan.

“Jumlah keseluruhan untuk jambatan ini RM3.5 juta tapi kalau tiga jambatan ini tidak boleh buat, inikan pula nak buat projek jambatan bengkok yang mungkin menelan belanja ribuan juta ringgit…. Saya tidak pasti kos sebenar tetapi mestilah cecah ribuan juta ringgit,” ujar beliau ketika ditemui media di lobi Parlimen hari ini.

Tegas Ahmad, kerajaan PH seharusnya melihat keutamaan rakyat sebelum meneruskan projek jambatan tersebut.

“Sepatutnya kena lihat keutamaan… selesaikan masalah rakyat daripada fikir projek yang kerajaan Singapura sendiripun tidak setuju,” bidas beliau.

Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian sebelum ini dalam kenyataannya berkata, kerajaan Persekutuan bercadang untuk meneruskan semula projek pembinaan jambatan bengkok, yang diilhamkan Dr Mahathir, sebelum bersara pada tahun 2003.

Jambatan bengkok atau Jambatan Indah adalah projek jambatan sepanjang 1.4 kilometer bagi menggantikan Tambak Johor sepanjang 1.06 kilometer yang digunakan sejak 1923.

Idea pembinaan jambatan bengkok tercetus kerana Singapura tidak mahu mengubah Tambak Johor yang menjadi struktur penghubung di sempadan negaranya.

Seni bina jambatan bengkok itu lebih tinggi bagi membolehkan kapal kecil melepasi Selat Johor namun Singapura enggan berkompromi dengan konsep itu.

Projek itu dibatalkan tahun 2006 pada era Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.