Relevannya UMNO Untuk Masa Depan, Penyumbang Idea Baharu Yang Bernas – Zahida

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan menekankan bahawa UMNO mesti dilihat sebagai kilang melahirkan pemimpin kerana ramai penyumbang idea-idea baharu yang bernas datangnya dari UMNO.

Tegasnya, UMNO perlu pembaharuan dan anggota Puteri adalah sebagai agen pembaharuan itu.

“Tersungkur sebelum melakukan pembaharuan adalah kerugian besar kepada perjuangan kita. Zaman sekarang zaman “real time” semuanya telus dan sentiasa diperhatikan. Setiap pemimpin mesti “multitasking” boleh merencana tetapi peka kepada desas-desus termasuk di alam maya,” katanya.

Jelas beliau, konsep kepimpinan berasaskan akar umbi perlu dibuat semakan semula kerana mungkin kaedah hibrid yang membolehkan lebih ramai golongan profesional dan influencers alaf baru mewakili UMNO berada di Parlimen negara ini.

“Sebab itulah kita perlu ulangi, Akademi atau Institut UMNO perlu ditubuhkan segera. Ini bukan idea baru. Sudah lama diperkatakan dan sudah ramai dipertanggungjawabkan namun hingga kini belum berjalan.

“Sebab apa? Sebab masih ramai menganggap kepimpinan UMNO hanya datang secara semula jadi, hasil lonjakan dari sistem lama kita yang semakin lama pasti akan menjadi lapuk dan tidak sesuai lagi untuk masa akan datang.

“Tanpa Institusi ini ramailah di kalangan kita, yang sudah memimpin tetapi masih kurang mahir tentang konsep bernegara. Apatah lagi memahami bagaimana sistem kerajaan itu berjalan dan bagaimana ia harus ditadbir melalui tadbir urus yang telus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Pergerakan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO.

Tegas Zahida, UMNO tidak mahu dilihat gagal apabila berbahas dan berhujah di parlimen atau forum-forum besar dan tidak mahu hanya melahirkan pendukung yang mengharap habuan dari hubungan dalam parti sekiranya berkuasa.

“Tanpa institusi ini kita tidak dapat melahirkan pemimpin yang serius dalam memperkatakan tuntutan ekonomi, undang-undang, keselamatan, alam sekitar dan pelbagai isu kenegaraan yang semakin rumit dan perlu kepimpinan untuk menyelesaikannya.”

Terdahulu beliau menjelaskan bahawa relevannya UMNO untuk masa depan banyak bergantung kepada tiga faktor penting.

“Faktor pertama ialah prestasi kerajaan hari ini dan prestasi pemimpin UMNO yang berada dalam kerajaan. Kerajaan ini mesti perform. Rakyat menunggu langkah-langkah untuk memperbaiki keadaan yang ada dan menambahkan kesejahteraan rakyat. Enam menteri kita dan enam Timbalan menteri kita mestilah dilihat sebagai kumpulan yang paling perform dalam kerajaan hari ini.

“Yang kedua ialah sejauh manakah rakyat masih percaya kepada tanggapan UMNO dan Barisan Nasional (BN) adalah parti kotor dan korup, manakala Perikatan Nasional (PN) adalah parti suci dan bersih.

“Ketiga, PRN di enam negeri masih menunggu kita dan apakah impak yang boleh kita berikan dalam masa terdekat ini.”

Perhimpunan Agung UMNO 2022 yang bermula semalam hingga Sabtu, dimulakan dengan perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO oleh Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan malam tadi.

Seramai 2,822 perwakilan dan pemerhati hadir ke perhimpunan kali ini, sementara 1,117 perwakilan ke Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita; 1,146 Pemuda dan 1,113 ke Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.