UMNO/BN Perlu Belajar Dari Kekalahan Dan Amal Politik Baharu – Syed Mohd Johan
KUALA LUMPUR, 12 Jan – UMNO/Barisan Nasional (BN) perlu belajar daripada kekalahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan perlu mengamalkan cara politik baharu.
Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, mengambil iktibar dan hikmah daripada kerjasama lampau bersama Perikatan Nasional (PN), UMNO move on dan membalut luka sendiri.
“Benarlah UMNO telah ditolak bangsa Melayu dan tewas pada PRU ke-15 lalu. Kita akur dan redha meskipun terlalu perit diharungi. Bermuhasabah atas kekalahan kali kedua pada PRU ke-15 lalu, UMNO perlu belajar dan tidak lagi terbuai alpa demi negara bangsa ini.
“Kita pernah bekerjasama dengan PN, namun kita kerap ditikam belakang. Ada yang mahu membunuh halus, ada yang berselingkuh tidak ikhlas setia, malah keduanya mencanang buruk kita keliling negara. Hasilnya, kita tewas teruk setelah ramai anak Melayu dan rakyat termakan hasutan dakyah mereka.
“Mengambil iktibar dan hikmah atas apa yang berlaku, UMNO move on membalut luka sendiri. Demi negara yang tidak berkerajaan, UMNO rela berkorban. Lebih baik bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang tidak berpura, dari mati dibaham musuh dalam selimut. Lagipun, kita tidak sertai PH, cuma bekerjasama di dalam Kerajaan Perpaduan sambil terus berbakti kepada nusa dan bangsa,” katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.
Jelasnya, budaya politik dominan mungkin sudah berakhir dan UMNO/BN perlu belajar menempuh sistem kerajaan campuran.
“Sedar tidak sedar, UMNO yang tewas pilihanraya telah meletakkan dirinya pada kedudukan strategik, progresif dan dinamik. Meskipun begitu, UMNO tidak wajar leka dengan kedudukan ini, namun terus mengamalkan politik baharu yang telah lama diamalkan negara maju.
“Budaya politik dominan mungkin sudah berakhir di negara kita. UMNO perlu belajar dan sedia menempuh sistem kerajaan campuran ekoran tiada lagi parti yang mampu memenangi kerusi majoriti di Dewan Rakyat. Meskipun mewakili 20 peratus kerusi di dalam kerajaan, namun UMNO/BN harus memastikan prestasi kita benar-benar memberi kesan positif kepada rakyat.
“Kedudukan sebagai parti teras mewakili orang melayu mesti diraih dengan penuh tanggungjawab menginpirasikan semula perjuangan orang Melayu di dalam kerajaan kerana itulah yang menjadi kerisauan orang Melayu sebagai rakyat majoriti malaysia. kita mesti kembalikan kepercayaan mereka agar kerajaan perpaduan ini terus stabil,” katanya lagi.
Menurut Syed Mohd Johan, perpaduan dan penyatuan jiwa dalam kalangan ahli serta akar umbi adalah sangat diperlukan dalam membentuk UMNO yang matang.
“Membuka buku baharu, UMNO perlu mematangkan diri dan kuatkan kembali tubuhnya yang lesu. Perpaduan dan penyatuan jiwa dalam kalangan warga UMNO adalah sangat perlu. Di era ini, kita bakal berdepan liku beronak duri. Dari itu, UMNO perlu gagah untuk terus melangkah dan kembali memenangi keyakinan majoriti rakyat, khususnya bangsa Melayu.
“Bermula malam perasmian sayap Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO semalam, kita sematkan segala iltizam yang digariskan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan, sebagai azimat bagi setiap warga UMNO serta kita nekad untuk terus berjuang, menjulang panji parti keramat bangsa ini.
“Insya-Allah, selagi hayat ini dikandung badan, perjuangan Islam, Melayu dan Tanah Melayu akan terus menjadi keutamaan kita, demi masa depan Malaysia tercinta. Usah lagi kita beretorik bahasa, ayuh kita bina semula negara bangsa yang berdaulat ini!” katanya lagi. – UMNO Online