PAU2022: Ucapan Dasar Ketua Puteri UMNO Malaysia
BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM
ASSALAMUALAIKUM W.B.T
YBhg. Saudari
– Pengerusi Tetap Pergerakan Puteri UMNO Malaysia
YBhg. Saudari
– Timbalan Pengerusi Tetap Pergerakan Puteri UMNO Malaysia
Wakil-wakil Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia i) YB Datuk Suraya binti Yaacob ii) YBhg.Dato Azian bin Osman iii) YB Datuk Seri Haji Jalaluddin bin Alias
YBhg Saudari Nurul Amal binti Mohd Fauzi
– Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia
YBhg Saudari Nurul Hazwani binti Haslan
– Penolong Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO Malaysia
YBhg Hajah Siti Hawa binti Abu Hassan
– Bendahari Pergerakan Puteri UMNO Malaysia
YBhg Saudari Muzana binti Mohamad
– Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia
YBhg Barisan Exco dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO NegeriNegeri.
YBhg. Saudari Ivone Low Yi Wen
-Ketua Beliawanis MCA Malaysia
YBhg. Saudari Shaliny Rajaram
-Ketua Puteri MIC Kebangsaan
YBhg. Puan Rohaini binti Datuk Seri Syed Ibrahim
-Ketua Puteri Kebangsaan Kimma Malaysia
YBhg. Saudari Sumatera Devi A/P Balakrishnan
-Ketua Puteri Kebangsaan Makkal Sakti
Mantan-mantan Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia
Tidak dilupakan Mahasiswi daripada Kelab UMNO Siswi dan rakanrakan perwakilan yang menonton secara maya di negeri dan bahagian-bahagian seluruh negara.
Turut Dialukan Para Pemerhati, Dif-dif Jemputan & Rakan-Rakan
Media Yang Dikasihi
Saudari-Saudari Sidang Perwakilan Sekalian
1. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada adik-adik yang datang dari jauh dan dekat. Dengan kesempatan ini Kak Ida juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua jentera puteri yang bertungkus-lumus memberi jiwa dan raga membantu pilihan raya umum yang lalu.
2. Pastinya ramai yang datang dengan langkah yang berat. Gembira bercampur sedih. Gembira kerana pertemuan silaturrahim ini menjadikan kita lebih erat. Dapat bertemu kembali di dalam sebuah keluarga UMNO yang besar ini.
3. Sedih, kerana Keputusan PRU ke 15 yang baru kita lalui bukanlah keputusan yang kita harapkan.
4. Keputusan ini melukakan, menyakitkan dan mengecewakan kita semua.
5. Ini adalah ujian untuk kita lebih bermuhasabah diri. Untuk kita redha dengan apa yang telah ditentukan. Untuk kita mencari hikmah dari musibah yang menimpa.
6. Kita mesti menghormati pilihan rakyat dan kita tetap menghargai kemahuan mereka yang mesti kita akur.
7. Ini adalah sebahagian dari perjalanan sebuah perjuangan yang selama ini kita pertahankan.
8. Jatuh dan bangun semakin menjadi lumrah. Kita jatuh dalam PRU ke 14, bangkit dengan megah dalam 7 PRK selepas itu, juga di PRN Melaka dan Johor. Kecewa dalam PRU 15. Namun saya percaya selepas ini, Insya Allah kita tetap akan bangkit kembali.
9. Saya percaya, pasang surut ini tidak sama sekali menyebabkan kita berhenti dari keyakinan atas perjuangan kita selama ini. Kita tetap menjadi parti untuk memberikan yang terbaik untuk negara, untuk agama dan untuk bangsa kita yang tercinta serta menjadikan
Malaysia tempat yang terbaik untuk anak cucu kita di masa depan.
10. Di atas keyakinan semua rakan-rakan yang masih berada di dewan ini, atau di mana-mana sahaja dalam negara ini Kak Ida sekali lagi ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua.
Kerat-kerat kayu di ladang,
Hendak dibuat hulu cangkul; Berapa berat mata memandang, Berat lagi bahu memikul.
Supaya lauk tidak terbuang,
Sebelum sejuk hangatkan lagi;
Supaya kita tidak lagi kecundang,
Ayuh bersama muhasabah diri.
11. Saya percaya ramai di kalangan kita sangat mengharapkan suntikan semangat dari abang, kakak, ayahanda dan bonda kita melalui Perhimpunan Agung kali ini. Kata-kata semangat dari YB Dato’ Seri Timbalan Presiden semalam adalah sebahagian dari penunjuk arah ke manakah hala tuju perjuangan kita selepas ini. Beliau meminta kita mengakui dan menerima kekalahan kita serta bermuhasabah tentang sebab-sebab kekalahan kita. Paling penting beliau meminta kita untuk semak semula agenda Melayu dan mengukuhkan peranan UMNO sebagai wadah pembaharuan orang Melayu di masa depan.
12. Saya percaya banyak hidangan yang boleh menjadi santapan kita sepanjang Perhimpunan Agung kali ini. Namun yang paling penting bagaimana kita menghadamnya agar santapan jiwa tadi menjadi tenaga dan kekuatan baru kita selepas ini.
Adik-adik Puteri yang Kak Ida sayangi
13. Memahami kemahuan dan corak cita rasa pengundi adalah tuntutan terbesar yang perlu fahami. PRU ke 15 adalah ledakan fenomena di mana keputusan pengundian tidak lagi ditentukan oleh kaedah-kaedah kebiasaan kita.
14. Konsep jentera dan gerak kerja parti perlu diubah. Banyak penyesuaian baru harus dibuat.
15. Politik pembangunan dan politik khidmat mungkin semakin tidak relevan. Kalau kita memberi khidmat pun, hanya kerana kita perlu melakukannya secara ikhlas, bukan lagi untuk mengharapkan pulangan undi dari rakyat. Apatah lagi dengan pertambahan pengundi yang mendadak naik, tidak mungkin kita boleh memberi khidmat kepada semua lagi.
16. Lihatlah berapa ramai calon-calon kita dari parti yang mempunyai “track record” yang baik menjadi korban kepada mereka yang tidak ada sebarang rekod pencapaian sebelum ini.
17. Berapa banyak tempat yang kita mempunyai ahli dan cawangan yang besar, kalah dengan parti yang tidak ada itu semua. Kita menjadikan simulasi pilihanraya sebagai ritual untuk menguruskan pengundi, namun kita kalah dengan mereka yang tidak pernah mengadakan apa-apa persiapan yang serapi kita.
18. Kita kalah bukan kerana tidak cukup memberi khidmat, kita kalah kerana tidak mampu melawan perang persepsi yang mereka mainkan.
19. Bahkan banyak konsep-konsep gerak kerja pilihan raya kita perlu disemak semula. Apakah konsep pengundi putih masih dianggap penting dalam model pilihan raya kita? Masih relevankan penghantaran handbill apabila semuanya boleh disemak secara talian?
20. Masih relevankah ada jentera pengangkutan apabila hampir semua rakyat sudah ada akses pengangkutan masing-masing?
21. Ini juga menuntut untuk kita melihat semula peranan Pergerakan Puteri. Apakah menguruskan sistem maklumat masih diperlukan di masa hadapan?
22. Sama seperti gelagat pengguna hari ini. Mereka membeli barang melalui Shopee dan Lazada dan ini semakin menjadi kebiasaan baru. Grab food dan food panda semakin popular. Ehailing seperti Grab sudah menggantikan teksi yang semakin tidak kelihatan. Dunia baru ini memerlukan pendekatan yang baru.
23. Banyak kaedah yang dilihat sangat berkesan ketika kita bertanding dalam PRK dan beberapa PRN sebelum ini, tetapi dalam sekelip mata ia menjadi sudah tidak berkesan dalam PRU ke 15 baru-baru ini.
24. Kaedah komunikasi kita juga sangat berbeza. Dulu banyak ceramah dan kunjungan rumah ke rumah. Semuanya semakin tidak relevan apabila maklumat hanya di hujung jari.
25. Tanpa kita sedari, TV dan akhbar sudah tidak menjadi rujukan utama. Baru kita berjinak, dengan facebook, twitter dan instagram, tetiba semua ini ditenggelami oleh tsunami Tik Tok yang bukan sahaja digemari oleh orang muda, orang tua pun turut membuat perkongsian.
26. Sebab itu kalau ditanya apakah peranan Pergerakan Puteri di masa depan?
27. Kita sepatutnya menjadi penentu trend baru dalam parti. Kalau parti perlu reform, maka Puterilah sepatutnya menjadi agen reformasi terkuat dalam parti. Sebagai orang muda mari kita perah otak kita untuk memberi dimensi muda untuk meremajakan parti yang kita sayangi.
Adik-adik yang Kak Ida disayangi,
28. Sedikit ubat yang menjadi penawar ialah dalam keadaan yang tidak seceria mana ini, parti kita masih dianggap sebagai parti penentu kepada siapa pun yang hendak membentuk kerajaan hari ini.
29. Kita seperti gadis pingitan yang menjadi rebutan semua orang.
30. Parti yang diberi pelbagai gelaran buruk ini tiba-tiba dikejar semua. Bahkan kita dimarah bukan kerana mahu menjauhkan kita, tetapi kita dimarah kerana tidak mahu bersama dengan mereka.
31. Selepas PRU banyak kronologi yang kita lalui dengan pantas. Ini termasuk Titah di Raja yang menyarankan sebuah kerajaan yang stabil dibentuk. Demi rakyat dan negara, Majlis Tertinggi parti telah memberi sokongan untuk mendokong Titah di Raja itu.
32. Ini adalah realiti politik yang kita terpaksa hadapi. Berada di luar kerajaan bukanlah pilihan kita. Membiarkan negara ini terus bergolak dalam suasana yang tidak menentu pasti akan menambah kebencian rakyat terhadap kita. Kita tidak mahu dipersalahkan sekiranya pelabur terus menjauhkan diri, pekerjaan semakin hilang, Ringgit semakin merosot, harga barang semakin meningkat dan rakyat semakin menderita.
33. Atas alasan itu kita telah menerima keputusan untuk bersama dengan parti yang mendapat jumlah kerusi yang paling banyak dalam PRU ke 15 di atas nama Kerajaan Perpaduan. Seperti yang ditegaskan semalam kita bukan menyertai PH tetapi kita samasama membentuk kerajaan perpaduan ini bersama PH, GPS dan GRS. Kita lakukannya atas keperluan realiti semasa yang terpaksa kita hadapi walaupun pahit untuk ditelan. Kita mengharapkan kita telah membuat keputusan yang betul demi rakyat dan negara tercinta.
34. Kini kerajaan sudah dibentuk dan boleh dikatakan hampir semua pemimpin parti kita yang dilantik dalam kerajaan adalah terdiri dari mereka yang berada dalam hierarki parti kita. Mereka mesti mempertanggungjawabkan kerja mereka bukan sahaja kepada pucuk pimpinan kerajaan yang melantik mereka, tetapi juga kepada parti yang mereka tunjangi. Kita tuntut kesetiaan mereka kepada parti ini.
35. Kita turut menuntut dalam keadaan serba kekurangan ini, rakan-rakan kita yang berada dalam kerajaan mestilah memberi impak besar kepada kerajaan. Mereka di sana membawa nama UMNO, baik mereka baiklah UMNO, buruk mereka buruklah UMNO. Tingkah laku dan gerak kerja mereka adalah cerminan kepada UMNO parti yang mendokong mereka ini.
Adik-adik Puteri yang Kak Ida sayangi
36. Relevannya kita untuk masa depan banyak bergantung kepada 3 faktor penting:
37. Pertama, prestasi kerajaan hari ini dan prestasi pemimpin kita yang berada dalam kerajaan.
38. Kedua, sejauh manakah rakyat masih percaya kepada tanggapan UMNO dan BN adalah parti kotor dan korup, manakala PN adalah parti suci dan bersih.
39. Ketiga, PRN di 6 negeri masih menunggu kita dan apakah impak yang boleh kita berikan dalam masa terdekat ini.
40. Untuk faktor pertama tadi, Kerajaan ini mesti perform. Rakyat menunggu langkah-langkah untuk memperbaiki keadaan yang ada dan menambahkan kesejahteraan rakyat. 6 menteri kita dan 6 Timbalan menteri kita mestilah dilihat sebagai kumpulan yang paling perform dalam kerajaan hari ini. Mereka mesti perform dan mesti dilihat perform. Mereka mesti bijak dan mesti dilihat bijak.
Mereka mesti bekerja kuat dan mesti dilihat bekerja kuat.
41. Kalau team bola, sekiranya bermain seperti Argentina, Messi itu ialah dari Umno. Kerajaan ini mesti kembali menjadi kerajaan World Class, ia menjadi World Class kerana pemain terbaiknya dari UMNO. Yang dilahirkan dari sekolah UMNO. Dari bangunan WTC ini.
42. Cukup-cukuplah nyanyian Hoi hoi ya hoi itu, kerana inilah pemain-pemain yang bersama kamu untuk mendokong kerajaan ini dan sama-sama membangunkan kembali negara yang semakin runtuh ini.
43. Sebagai parti yang sentiasa berbangga dengan “track record” kita sebelum ini, sepatutnya tanda aras yang perlu kita letakkan kepada rakan-rakan kita itu, ialah bagaimana untuk menjadikan negara ini lebih baik dari pencapaian yang pernah dicapai sebelum tahun 2018 dulu.
44. Bolehkah matawang ringgit kembali ke paras sebelum tahun 2018? Ringgit kukuh import menjadi lebih murah. Makanan ternakan dan baja menjadi lebih murah dan rakyat akan dapat bekalan ayam dan telur yang mencukupi dan pada harga yang berkemampuan.
45. Bolehkah pasaran saham kita melonjak sebagaimana yang berlaku sebelum tahun 2018 dulu? Ya! kita bukan pemain saham. Namun pasaran saham yang melonjak akan menarik lebih banyak pelabur dan wang ke dalam negara dan semakin memperkukuhkan nilai matawang kita.
46. Bolehkah negara tarik lebih ramai pelabur ke mari? Selepas tahun 2018 Pelaburan Langsung Asing (FDI) Ke Malaysia rendah jika dibandingkan dengan negara jiran kita. FDI penting kerana pelaburan yang akan menyediakan peluang pekerjaan dan memberikan kesejahteraan kepada rakyat yang sangat memerlukannya. Kita tidak mahu Malaysia akhirnya menjadi corot berbanding negara-negara jiran kita yang sedang pantas memintas kita.
47. Kita pernah dianggap sebagi destinasi paling menarik pelabur dan mendapat ranking yang tinggi dalam senarai negara yang paling kompetitif. Mereka datang diatas kecekapan tenaga kerja kita, infrastruktur kita terbaik, kemudahan pengangkutan, elektrik, api, air dan internet yang baik. Bahkan paling penting mereka yakin politik kita paling stabil. Keyakinan ini mesti dikembalikan, dan Ia mesti dikembalikan.
48. Kita mahu lihat segala bentuk bantuan dan kemudahan untuk nelayan, untuk petani dan rakyat miskin yang pernah diberikan dahulu akan lebih banyak diperolehi oleh kerajaan yang kita sertai ini. Ia hanya berlaku sekiranya hasil negara kukuh. Ia kukuh sekiranya rakyat yang berpendapatan tinggi membayar cukai. Syarikat dan perniagaan maju serta membayar cukai. Bahkan kita tahu menggunakan kekayaan semula jadi hasil bumi kita sebaiknya untuk menampung keperluan sebuah kerajaan yang kuat.
49. Tahun 2018 adalah “bench mark” atau penanda aras prestasi kerajaan hari ini. Kalau tidak lebih baik, sekurang-kurangnya mesti sama seperti itu. Inilah definisi prestasi yang mesti dicapai oleh Menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri kita. Standard BN adalah tinggi. Maka mana-mana kerajaan kalau lebih rendah dari itu ia tetap dianggap kerajaan gagal. Sebagai parti yang bermaruah kita tidak boleh sama sekali dilihat bersama dengan kerajaan yang gagal.
Adik-adik Puteri yang Kak Ida sayangi
50. Faktor kedua, ialah bagaimana untuk merungkai sejauh manakah dakwaan bahawa gabungan parti yang bernama PN itu suci dan bersih? Ini termasuk Bersatu dan Pas. Rakyat memberi undi kepada mereka kerana percaya kepada dakwaan ini. Bahkan mereka masuk pilihan raya baru-baru ini dengan slogan stabil dan bersih. Bersih dari segala dosa besar dan kecil.
51. Kita masih ingat kita tolak Bersatu kerana asasnya kotor. Kita masih ingat kita tidak boleh bersamanya kerana asasnya ialah untuk membunuh UMNO. Mereka terdiri dari pengkhianat parti. Yang diangkat melalui parti kita tetapi menikam kita dari belakang. Ada yang lari kerana takut kes-kes mereka dibongkar. Mereka ditarik melalui langkah “scheme of things” yang begitu licik.
52. Mereka menang tidak bermakna mereka benar. Katak tidak boleh menjadi ikan hanya semata-mata dilihat boleh berenang dan menyelam sama seperti ikan.
53. Kita kena terangkan secara berterusan kepada rakyat tentang pandangan kita ini kenapa sukar untuk kita menerima mereka.
54. Sekiranya mereka bersih dan tidak berdosa. Siapakah yang dapat menjelaskan video sumpah “Wallahi aku undi Pas”. Masih terbayang wajah anak-anak muda yang bersusun di depan Pak lebai untuk dibayar atau dikorupkan. Tidakkah ini memalukan atau adakah kalau pak lebai yang buat semuanya menjadi betul?
55. Masihkah kita ingat video khemah yang diserbu sehingga ada yang pengsan kerana berebut mendapat wang habuan selepas mengundi? Ia tidak berlaku sebelum ini tetapi menjadi budaya baru parti mereka.
56. Boleh bayangkan berapa banyak wang yang ditaburkan dalam PRU baru-baru ini? Berapakah jumlah perbelanjaan mereka? Dari mana mereka mendapat dana yang sebegitu besar? Siapa yang membiayai mereka? Apa habuan yang mereka dapat? Benarkah tohmahan berbilion ringgit kontrak rundingan terus sebelum pilihanraya dibuat hanya untuk tujuan ini? Benarkah semasa pemerintahan mereka darurat digunakan untuk meluluskan perbelanjaan tanpa kelulusan parlimen atas tujuan-tujuan seperti ini?
57. Apakah ini budaya parti suci dan bersih yang akan membentuk budaya politik baru untuk generasi akan datang? Apakah Undi 18 yang sama-sama kita sokong hanya untuk melahirkan generasi baru yang mudah dibeli dan dikorupkan? Kita sayang rakyat namun kita kena gariskan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan.
58. Demokrasi hanya akan berjaya sekiranya rakyat dididik dan memahami apa peranan dan apa tanggungjawab mereka yang sebenar. Sepatutnya bila undi 18 diperkenalkan sekolah sudahpun memasukkan pendidikan Demokrasi dalam sukatan pelajaran.
59. Di mana Suruhanjaya Pilihan raya dan di mana SPRM apabila melihat semua ini? Adakah teropong hanya dihalakan kepada orang UMNO namun mata ditutup kalau dibuat oleh mereka yang berjubah atau berketayap? Di mana NGOs, di mana Bersih, di mana Majlis Peguam dan lain-lain apabila melihat video yang seperti ini? Apakah amalan membeli undi halal kalau ia boleh memusnahkan UMNO dan Barisan Nasional?
60. Kita kalah kerana permainan persepsi. Persepsi mereka bersih dan kita kotor. Naratif yang dibina sejak sebelum PRU 14 dan diperkukuhkan semasa PM ke7. Sebab itu kita terus menuntut agar siasatan terhadap Tommy Thomas diteruskan. Tanpa siasatan dan tindakan banyak misteri tentang benih kebencian terhadap kita tidak dapat dibongkar.
61. Alhamdulillah Tan Sri Shahrir Samad dibebaskan. Namun ia adalah sedikit pembongkaran terhadap niat jahat sebenar pendakwaan yang dibuat terhadapnya sebagai pemimpin UMNO. Asasnya ketika perbicaraan, dibuktikan pendakwaan dibuat sebelum siasatan sebenar selesai sepenuhnya. Tan Sri Shahrir yang mendahulukan wangnya untuk membaiki rumah rakyat yang daif didakwa kerana menerima gantian daripada bekas Perdana Menteri atas khidmatnya. Ini bukti bagaimana pendakwaan digunakan semasa PM ke7 untuk membina persepsi bahawa setiap pemimpin UMNO itu kotor dan mesti dikotorkan.
62. Namun berapa ramai yang menghabiskan tenaga, fikiran dan wang ringgit mereka selama lebih 4 tahun bergelut untuk membersihkan permainan kotor mereka yang ingin menjatuhkan kita. Bahkan berapa ramai juga orang kita sendiri yang turut terikutikut dengan rentak permainan kotor ini? Bahkan antara kita turut menyebar fahaman kononnya di kalangan kita pun ada kluster kotor dan kluster suci. Orang yang didakwa adalah kotor dan yang tidak didakwa itu semuanya suci. Kita juga terperangkap dalam naratif musuh.
63. Plot pembunuhan karakter politik telah memangsakan ramai orang kita. Plot ini bermatlamatkan untuk memenjarakan seberapa ramai pemimpin kita, supaya semua kita ini dilihat sebagai kotor.
Manakala mereka yang bersama mereka semuanya bersih.
64. Kalaulah mereka suci dan benar-benar menentang korupsi kenapa sehingga sekarang kes bekas Gabenor Bank Negara dan suaminya masih tidak kedengaran? Kenapa siasatan terhadap Hakim Nazlan semakin menyepi kerana ia melibatkan integriti perbicaraan agar Dato’ Sri Najib Razak dipenjarakan dan dilenyapkan dari arena politik negara.
65. Ya, kita masih ingat. PRU 14 kita jatuh kerana serangan peribadi terhadap Dato’ Sri Najib Razak. Namun 7 PRK sehinggalah PRN Melaka dan Johor. Senjata kita yang paling berkesan ialah orang yang bergelar “Bossku” dan dialah juga paling ditakuti oleh lawan. Hanya bersenjatakan laman Facebooknya 2 Perdana Menteri tersungkur. Masihkah kita ingat setiap kali beliau turun mengadakan “road show” Barisan Nasional digeruni.
66. Melenyapkan Bossku adalah strategi paling penting untuk melemahkan UMNO dan Barisan Nasional. Ternyata mereka berjaya.
67. Maka perlu kita tanya diri kita sendiri sewaktu bermuhasabah ini. Bukan untuk menyalahkan sesiapa atau mengungkit perkara yang telah berlalu. Apakah strategi mengadakan PRU hanya selepas Bossku dipenjarakan itu datang dari kita atau digerakkan oleh tangan musuh-musuh kita?
68. Semua ini perlukan jawapan segera. Kalau kita berdiam semuanya akan dilupakan. Namun inilah asas naratif yang dilemparkan terhadap kita sehingga persepsi dibentuk untuk melupakan apa jua jasa dan khidmat bakti yang kita berikan sebelum ini.
69. Persepsi bahawa PN parti bersih adalah mitos yang perlu dibongkar. Menang bukan bererti benar, kalah bukan bererti salah. Kita kalah hari ini tidak menyebabkan kita menyerah. Mainan persepsi hanyalah seperti memasang lensa di mata rakyat, kuning menjadi merah, biru menjadi hijau ini adalah mainan persepsi. Tugas kita adalah bagaimana untuk menanggalkan lensa untuk rakyat melihat realiti sebenar.
Adik-adik Puteri yang Kak Ida sayangi
70. Faktor ketiga ialah menghadapi PRN di 6 negeri yang pasti akan berlaku tak lama lagi.
71. Sudah tentu ada di kalangan mereka yang menyesal, kerana tidak diadakan serentak dengan PRU ke 15 baru-baru ini. Kita menganggap ini ketentuan Tuhan kerana sebelum ini mereka mendahului Tuhan dengan menyatakan bulan November hingga Mac adalah bulan banjir dan tidak sesuai diadakan pilihan raya.
72. Lojiknya mereka tidak akan mengadakan PRN dalam tempoh ini. Sebab mereka juga yang beriya-iya tidak mahu mengadakan Pilihan raya sehingga musim tengkujuh berakhir.
73. Apa pun keputusan mereka, kita kena bersedia menghadapi apa jua keadaan dalam serba kemungkinan.
74. Jangan berputus asa. Kita bertindak dalam keadaan “we have nothing to lose”, kerana kita sudah pun kalah. Setiap kemajuan baru adalah kemenangan baru buat kita. BN pernah kalah teruk di Terengganu dalam tahun 1999. Namun boleh bangkit kembali selepas itu. Begitu juga di Kelantan dan Kedah.
75. Inilah masanya untuk kita berstrategi dan memulakan apa jua percubaan kepada model baru kerja-kerja pilihan raya kita.
76. Masa tidak banyak, tetapi saya berkeyakinan perubahan boleh berlaku dalam masa yang singkat.
77. Banyak berkaitan dengan konsep permainan persepsi tadi, apakah Kerajaan Perpaduan ini boleh perform? Dan bagaimana meruntuhkan persepsi bahawa mereka itu bersih, suci dan tidak pernah membuat dosa.
78. Ini masanya untuk kita perkemaskan askar media sosial kita. Membina kumpulan influencers yang boleh mengubah pemikiran anak muda dalam memberi keseimbangan di negeri-negeri yang menjadi sasaran kita itu. Saya menyeru pucuk pimpinan parti berilah tumpuan kepada kaedah ini, berilah keutamaan untuk menguruskan perang persepsi ini. Sepatutnya MEDSOS dijadikan
“core business” parti secara keseluruhannya di semua peringkat. Apa yang disebut oleh Tok Mat semalam perang ini adalah perang kognitif ianya perlu difahami disemua peringkat dan parti dituntut untuk membuat seluruh persiapan bagi memahami perang ini.
Adik-adik yang disayangi,
79. Apa yang penting, dalam masa yang singkat ini kita kembali kepada papan cerita kita.
80. Naratif penceritaan kita menjelang PRU 15 bersimpang-siur. Naratif kita sebagai parti yang mampu mewujudkan kerajaan yang stabil sehingga membuahkan kejayaan di Melaka dan Johor semakin kabur dengan naratif lain yang pelbagai. Ini termasuk isu siapakah yang patut menjadi poster boy? Kita dilihat lebih ghairah dalam mengejar jawatan-jawatan dalam kerajaan sekiranya kita menang. Kita dilihat lebih banyak membuat persiapan pemilihan dalam parti daripada persiapan PRU Ke15.
81. Semua mengandaikan menang di Melaka dan Johor menjadikan jaminan menang keseluruhan PRU. Ini termasuk dikalangan mereka yang tidak nampak muka ataupun datang sekadar melepaskan batuk di tangga ketika kita semua bertarung didalam PRN. Kita lebih banyak mencatur setelah menang siapa orang dia, siapa orang kita. Naratif kita menjadi celaru.
82. Naratif kita celaru kerana sebahagian dari perencanaan lawan dan ada juga sebahagian lagi kerana karenah diri kita juga.
83. Lawan sifatnya lawan. Mencari kelemahan kita dan membina naratif rakyat untuk memusnahkan kita adalah sifat mereka sebagai lawan. Sasaran mereka terhadap pemimpin kita adalah makanan semulajadi mereka. Sejak zaman Tun Mahathir lagi sebagai Presiden UMNO, beliau menjadi sasaran serangan lawan kita.
Masihkah kita ingat mereka pernah menggelarnya mahafiraun tetapi memeluknya apabila memerlukan.
84. Di zaman Pak Lah beliau juga diserang peribadinya. Begitulah di zaman Dato Seri Najib dan Dato Seri Zahid Hamidi. Ingat, tukarlah berapa kali pemimpin pun, pemimpin itu akan tetap menjadi sasaran lawan.
85. Kelemahan kita, kita tak cukup pandai mencari keburukan pemimpin mereka dan menghina hingga ke tahap yang paling rendah. Apatah lagi membina naratif pembunuhan karektor dan mencipta fitnah. UMNO hanyalah kilang melahirkan pemimpin khidmat dan pembangunan. Kita gagal melahirkan penembak tepat, penabur fitnah dan pembunuh karektor mereka satu-persatu.
86. Kekuatan mereka pula walau apapun tomahan yang dilemparkan kepada pemimpin mereka, mereka tetap mempertahankan pemimpin yang mereka pilih. Kelemahan kita pula sekiranya pemimpin kita diserang ramai pulak kalangan kita turut mencari jalan merebahkan pemimpin kita. Prinsip mempertahankan institusi Presiden jauh sekali ada dikalangan kita. Lihatlah dikalangan mereka berapa kali mereka kalah pilihan raya tetapi mereka tidak mendesak presiden mereka turun. Kita tidak mahu dilihat seperti ketam didalam baldi. Apabila ada seekor ketam yang naik ke atas, ketam-ketam lain menarik supaya jatuh ke bawah. Kita sepatutnya sama-sama mencari jalan mendokong pemimpin kita menjadi lebih kuat bukan melemahkannya. Apa-apa tindakan yang boleh lemahkan parti mesti kita elakkan.
87. Sebab itu UMNO semakin hari semakin merosot. Kita hanya menghargai pemimpin apabila kita kehilangannya. Inilah yang berlaku kepada fenomena Bossku yang sangat difahami oleh lawan tetapi kurang dimanfaatkan oleh kawan. Seperti cerita Hang Tuah bila susah barulah ramai yang bercakap, alangkah baiknya kalau Hang Tuah masih hidup.
88. Sekarang masanya kita duduk kembali melakari naratif penceritaan kita. UMNO parti yang pernah berjasa masih ingin meneruskan jasa-jasa kita. Janganlah lagi disulami dengan plot baru yang menggambarkan perbalahan yang berterusan sesama kita. Rakyat melihat, keluarga yang tidak tenteram tidak mampu untuk mententeramkan keluarga lain yang tidak tenteram. UMNO yang berpecah tak mungkin menjadi UMNO yang kuat untuk menyelesaikan masalah rakyat.
89. Cukuplah apabila ada di kalangan kita berdiam diri di dalam mesyuarat, tetapi tak segan-segan lempar batu sembunyi tangan untuk memburukan parti di luar sana.
90. Cukuplah kalau ada siapa yang nak bina parti di dalam parti hingga kita dilihat sebagai parti yang berpuak-puak dan mengatur kiblat ketaatan yang berbelah bagi.
91. Parti kita akan menjadi lebih kecil dan akan hilang hormat daripada rakyat terhadap kita sekiranya kita tidak memaparkan kita adalah sebuah keluarga yang bahagia.
92. Sebahagian dari kita sudah meninggalkan kita. Sebahagian dari kita terpaksa disingkirkan. Seperti pasukan bola, tak mungkin kita boleh terima pemain yang dengan sengaja menyepak bola ke gol sendiri atau membantu lawan menyumbat bola ke gol kita.
93. Pasukan ada disiplin dan parti juga ada disiplin. Mana-mana yang merasakan dirinya lebih besar daripada parti harus diambil tindakan disiplin. Mana-mana yang terbukti cuba memusnahkan parti perlu diambil tindakan segera. Berparti ada adabnya, tiada tempat untuk mereka yang biadap terhadap parti. Saya ulang, kita tidak boleh bertolak-ansur dengan mereka yang mengkhianati parti tidak kiralah ahli biasa atau yang memegang jawatan, tindakan mesti diambil segera. Pengkhianat parti adalah seperti barah, barah jika tidak dipotong dia akan merebak dan merosakkan seluruh sistem tubuh yang bernama UMNO. Kita kena sanggup sakit dibedah hari ini daripada kita menderita distage 5 yang akan memusnahkan seluruh tubuh badan kita.
94. Membina disiplin parti adalah sebahagian dari tuntutan yang perlu diberi penegasan dalam gerak kerja yang akan datang.
95. Kita perlu mengkaji balik apakah keperluan UMNO terus menjadi parti massa yang mengejar jumlah keahlian yang besar atau lebih baik menjadi parti kecil tetapi digerakkan oleh kader yang tekun, bijak dan berdisiplin?
Adik-adik yang disayangi,
96. UMNO mesti dilihat sebagai kilang melahirkan pemimpin, tetapi konsep kepimpinan berasaskan akar umbi perlu dibuat semakan semula. Mungkin kaedah hibrid yang membolehkan lebih ramai golongan profesional dan influencers alaf baru mewakili UMNO berada di Parlimen negara ini. Kita mahukan lebih ramai penyumbang idea-idea baru yang bernas datangnya dari UMNO.
97. Sebab itulah kita perlu ulangi, Akademi atau Institut UMNO perlu ditubuhkan segera. Ini bukan idea baru. Sudah lama diperkatakan dan sudah ramai dipertanggungjawabkan namun hingga kini belum berjalan.
98. Sebab apa? Sebab masih ramai menganggap kepimpinan UMNO hanya datang secara semula jadi, hasil lonjakan dari sistem lama kita yang semakin lama pasti akan menjadi lapuk dan tidak sesuai lagi untuk masa akan datang.
99. Tanpa Institusi ini ramailah di kalangan kita, yang sudah memimpin tetapi masih kurang mahir tentang konsep bernegara. Apatah lagi memahami bagaimana sistem kerajaan itu berjalan dan bagaimana ia harus ditadbir melalui tadbir urus yang telus. Kita tidak mahu dilihat gagal apabila berbahas dan berhujah diparlimen atau forum-forum besar di negara kita. Kita tidak mahu hanya melahirkan pendokong yang mengharap habuan dari hubungan dalam parti sekiranya parti ini berkuasa.
100. Tanpa institusi ini kita tidak dapat melahirkan pemimpin yang serius dalam memperkatakan tuntutan ekonomi, undang-undang, keselamatan, alam sekitar dan pelbagai isu kenegaraan yang semakin rumit dan perlu kepimpinan untuk menyelesaikannya.
101. Parti perlu pembaharuan. Kitalah sebagai agen pembaharuan itu. Tersungkur sebelum melakukan pembaharuan adalah kerugian besar kepada perjuangan kita. Zaman sekarang zaman “real time” semuanya telus dan sentiasa diperhatikan. Setiap pemimpin mesti
“multitasking” boleh merencana tetapi peka kepada desas-desus termasuk di alam maya.
Adik-adik yang disayangi,
102. Mungkin sebahagian besar dari kita di sini akan mengucapkan selamat tinggal kepada Pergerakan Puteri. Lebih dari 70 peratus dari kalangan kita akan melangkah keluar dari usia Puteri.
103. Kak Ida ingin mengucapkan berbanyak terima kasih di atas usaha dan khidmat yang telah dicurahkan. Ramai yang berkorban tenaga, masa dan wang ringgit yang tak terhingga jumlahnya. Anggaplah ini adalah sebahagian dari kos dalam proses pembelajaran yang lebih mematangkan kita.
104. Dalam proses ini, kita bukan sahaja menimba pengalaman memimpin dan beroganisasi, bahkan kita turut menambah jaringan kenalan di setiap peringkat. Melalui Puteri UMNO rasanya kita tidak akan sesat kerana kawan dan sahabat kita ada di mana-mana. Melalui Puteri kita ada pertalian dengan mereka yang berpengaruh dan boleh membuat pelbagai keputusan penting dalam negara ini.
105. Sebab itu, kita sama-sama mengusulkan. Jangan sia-siakan aset yang bernama Puteri Umno ini. Jangan biarkan mereka terbiar begitu sahaja. Kita mohon agar Pergerakan Wanita menyambut mereka sebagai tenaga penting dalam Pergerakan Wanita. Atau parti diperingkat Bahagian tidak mensia-siakan mereka dan mengambil mereka untuk meneruskan kesinambungan perjuangan kita semua.
106. Kepada adik-adik yang terus berada dalam pergerakan Puteri UMNO ini Kak Ida ucapkan selamat maju jaya. Semoga perjuangan ini diteruskan. Waktu menang kita bersyukur. Waktu kalah pun kita redha. Waktu menang kita bangga, waktu kalah kita bermuhasabah. Kita tetap dalam suatu keluarga di atas satu semangat. Untuk mempastikan negara ini baik. Rakyat kita sejahtera bangsa dan agama kita terpelihara.
107. Semoga Allah berkati dan permudahkan perjalananan kita seterusnya.
Di atas dahan burung tempua,
Melihat rusa tepi perigi;
Salam perjuangan untuk semua, dilain masa bersua lagi.
Wabillahitaufik Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh