Hala Tuju Baharu UMNO Perlu Lakukan Pembersihan ‘Total’– Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR, 11 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyokong penuh kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang akan melakukan pembersihan ‘total’ di dalam parti.

Jelasnya, untuk memastikan hala tuju baharu ini berjaya dan tidak terhalang maka UMNO perlu melakukan pembersihan ‘total’.

“Saya amat sokong bahawa pembersihan ‘total’ ini. Ia penting supaya UMNO tidak diganggu oleh anasir-anasir iaitu mereka ini adalah orang suka ‘membaling batu tetapi sembunyi tangan’.

“ … dan apabila ada golongan seperti ini maka ia menggangu … supaya UMNO ini ‘solid’ bergerak sebagai satu jemaah yang patuh pada keputusan parti maka sudah tentu hala tuju baharu ini tidak akan berjaya untuk dilaksanakan.

“Ini antara punca kenapa kebangkitan UMNO terganggu? Dan ini adalah punca kenapa UMNO dilihat tidak ‘solid’ yang disebut oleh Timbalan Perdana Menteri wajar disokong oleh semua pihak,” katanya ketika ditemui UMNO Online, di sini.

Mohd Puad yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor menjelaskan hala tuju parti baharu ini tidak akan lari daripada perlembagaan negara dan asas perjuangan UMNO.

“Bahawa hala tuju baharu ini tidak lari dari perlembagaan antaranya yang menyentuh bab hak keistimewaan orang Melayu, agama Islam, Raja-raja Melayu. Ini amat penting dan sememangnya kekuatan UMNO adalah perjuangan.

“Perjuangan ini mesti diteruskan cuma dalam kaedah dan bentuk yang baharu serta sesuai dengan perubahan iklim politik yang ada pada hari ini terutamanya mengenai sikap orang muda yang menjadi golongan pengundi penting. Ia berlaku pada pilihan raya baru-baru ini dan akan berterusan pada pilihan raya akan datang,” jelas beliau.

Dalam masa yang sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit merasa yakin bahawa UMNO mempunyai peluang untuk memenangi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

“UMNO mempunyai peluang yang besar untuk menang dan sekurang-kurangnya berada di dalam kerajaan untuk enam negeri yang akan PRN nanti,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.