UMNO Perlu Kuasai Politik Persepsi

SAYA lihat dalam pelan jangka pendek menuju Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), UMNO sudah perlu ubah pendekatan dan strategi mereka mengikut kesesuaian trend semasa jika mahu terus bangkit dan berubah.

Jika kita perhatikan dalam 10 tahun kebelakangan ini, bila media sosial sedikit demi sedikit mengubah landskap politik Malaysia, trend politik persepsi mula mengatasi cara tradisi politik khidmat kepada rakyat. Sejak ledakan teknologi maklumat, kebanyakan rakyat terutamanya orang muda lebih suka menetapkan pilihan mereka berdasarkan persepsi yang mereka terima melalui media sosial.

Sebab itulah walaupun ramai Ahli Parlimen pembangkang ketika itu tak buat kerja, tak berkhidmat untuk rakyat, abaikan kawasan tapi hanya lebih berpolitik di media sosial, mereka tetap menang. Rakyat macam tak kisah kalau dapat YB yang tak perform asalkan matlamat politik emosi mereka tercapai. Walaupun sepanjang tempoh 60 tahun wakil-wakil rakyat UMNO majoritinya berkhidmat dan bekerja keras untuk rakyat di kawasan masing-masing, tapi dek terpengaruh dengan politik persepsi yang dibawa pembangkang, akhirnya rakyat menyingkirkan mereka.

Game pembangkang ketika itu seperti Pakatan Harapan (PH) dan PAS lebih menjurus untuk mencipta persepsi buruk atau negatif terhadap kerajaan BN dengan memberikan pelbagai gambaran, auta yang nampak macam fakta dan macam-macam lagi metod digunakan untuk serang kerajaan. Kumpulan cybertrooper DAP seperti Red Beans Army memang cukup berjaya membina imej buruk kerajaan Barisan Nasional (BN) terutamanya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib ketika itu.

Tambahan pula ketika itu geng cybertrooper UMNO/BN tak dapat nak tangkis majoriti serangan siber yang dibuat oleh RBA. Bukannya UMNO/BN tak ada tentera siber sendiri, ada ramai tapi ramai yang ambil upah saja tapi duduk goyang kaki. Buat kerja acuh tak acuh macam lepaskan batuk di tangga. Sebab itulah sebelum PRU 2018 lagi, kumpulan cybertrooper duduk menggasak dan menyerang pemimpin-pemimpin UMNO sehingga ramai yang nampak jelek di mata rakyat.

Kalau boleh UMNO juga perlu lahirkan seorang lagi Rafizi versi UMNO yang bijak memanipulasi isu, boleh jadi raja formula dan juga boleh jadi seorang pengkaji yang boleh membuatkan seorang yang bersih nampak kotor. Kita boleh lihat bagaimana Rafizi serang UMNO/BN sepanjang tempoh 2010 sehingga 2018 dengan membangkitkan persepsi negatif pemimpin-pemimpin UMNO di mata rakyat.

Kemuncaknya kita lihat bagaimana pembangkang dapat manipulasi secukup-cukupnya isu 1MDB sehingga rakyat percaya bulat-bulat dan terus tolak UMNO/BN pada PRU14. Kita boleh lihat bezanya askar siber pembangkang dengan pasukan siber UMNO/BN yang dimewah-mewahkan sampai leka tak buat kerja. Saya difahamkan ramai daripada ahli-ahli RBA ketika itu bekerja secara sukarela semata-mata mahu jatuhkan kerajaan BN.

Situasi sama juga berlaku pada PRU15 lalu di mana PN bijak kerana cepat belajar daripada contoh-contoh yang pernah dibuat oleh RBA. Team Cybertrooper dan kempen Perikatan Nasional (PN) gunakan semak semaksimum mungkin platform sosial media terutamanya Tiktok yang tengah top untuk berkempen dan memanipulasi politik persepsi. Mereka tahu kebanyakan yang guna sosial media ini adalah golongan muda atau pengundi 18 yang berpaksikan kepada politik emosi.

Jadi, saya rasa kalau UMNO mahu terus kekal relevan dan mahu tambat hati rakyat terutamanya orang muda, UMNO kena kuasai corak politik persepsi. UMNO tak boleh lagi terlalu fokus pada cara lama seperti politik khidmat, berita syok sendiri mahupun program-program retorik yang nampak gah tapi tiada impak besar. Portal rasmi UMNO/BN perlu lakukan perubahan content supaya lebih menarik dan up to date dan bukannya fokus kepada individu-individu tertentu saja. Begitu juga cybertroopers UMNO sudah boleh membuat content yang berunsur persepsi sama ada dalam bentuk positif kepada pemimpin UMNO atau membina persepsi negatif terhadap pihak lawan. Sudah tiba masanya portal dan cybertroopers UMNO mengambil sikap menyerang dan membalas berbanding tindakan bertahan selama ini.

Kita sendiri boleh lihat bagaimana kuasa media sosial dan viral membantu Najib bangkit kembali dan menjadi selebriti politik. Biarpun ketika masih bergelut dengan kes-kes mahkamah tapi kemampuan team cybertroopers Najib berjaya menjadikan Bossku sebagai ikon politik baru di dunia siber. Mungkin Najib dan pasukannya cepat belajar daripada situasi sebelum PRU14 bagaimana pembangkang berjaya menguasai minda rakyat hanya melalui politik persepsi.

MP Kerajaan Dan Pembangkang Kena Berfikir Ikut Blok Sendiri

Segalanya sudah terbukti. Semuanya sudah disahkan. Kerajaan Perpaduan yang dianggotai PH, BN, GPS, GRS, KDM dan wakil bebas adalah sebuah kerajaan baharu yang stabil bila undi percaya di Parlimen dua hari lepas diluluskan dengan suara majoriti. Pembangkang PN sudah boleh tutup mulut dan terima hakikat bahawa mereka ada pembangkang.

Cuma saya nak pesan kepada MP-MP kedua-dua belah pihak supaya berfikir dan bertindak mengikut blok masa kini mereka. MP kerajaan terutamanya dari PKR, DAP dan Amanah perlu ubah minda mereka daripada cara berfikir seorang pembangkang kepada corak berfikir sebagai wakil kerajaan. MP-MPH PH tak boleh lagi bertindak sembrono atau membawa budaya pembangkang lagi. Setiap tindakan atau kenyataan mereka mesti sebagai wakil kerajaan kerana kalau masih ikut budaya pembangkang, nama baik Kerajaan Perpaduan akan terjejas.

Saya bimbang MP-MP baru dari PH terutamanya MP muda yang dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri masih terbawa-bawa cara politik pembangkang. Mereka kena belajar daripada senior-senior dalam PH mahupun BN dan kena bijak beradaptasi dengan realiti sekarang. Berhati-hati ketika bercakap, beringat ketika menjawab pertanyaan-pertanyaan daripada rakan media supaya tak ada percakapan mahupun kenyataan yang dikeluarkan boleh dimanipulasi oleh orang lain. Saya tak risau dengan MP-MP UMNO kerana majoriti mereka yang menang dan berada dalam Kabinet adalah orang-orang yang berpengalaman luas sebagai wakil pembangkang.

NOTA KAKI*
– Hadi Bawang eh silap Hadi Awang keluarkan fatwa baru lagi. Orang Islam yang tak mengundi walaupun dengan alasan tunaikan haji atau umrah sudah melakukan dosa besar dan konsep kerajaan perpaduan yang tak ikut petunjuk Allah adalah haram!

– Wahhh begitu lancang mulut Hadi ini dan sangat senang keluarkan fatwa serta jatuhkan hukum bila babitkan isu yang beri laba politik kepada puak dia. Tapi sebenarnya saya tak hairan pun dengan mulut lancang Hadi tu sebabnya sudah berpuluh-puluh fatwa politik yang dia keluarkan selama jadi pemimpin PAS.

– Paling legend adalah Amanah Haji Hadi tahun 1981 yang memfatwakan sokong UMNO akan jadi kafir. Kerana Amanat puaka itulah yang memecah belahkan umat Islam dengan penuh dahsyat. Sehinggakan Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1984 mewartakan Amanat Hadi itu sebagai bertentangan dengan Islam dan sesat.

– Apa yang saya tak faham, walaupun sudah jelas Hadi selalu mengeluarkan kenyataan yang tak selari dengan tuntutan Islam dan banyak menunggang agama untuk kepentingan politik, masih ramai orang Islam yang percaya dan masih undi dia serta PAS.

 

Datuk Nur Jazlan Mohamed

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor/ Ketua UMNO Bahagian Pulai

 

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.