Yakin BN Mampu Kembalikan Semula Kerusi Parlimen Sabak Bernam
SABAK BERNAM, 17 Nov – Meskipun kerusi Sabak Bernam sebelum ini disandang calon Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) namun pada kali ini, ia diyakini dapat dirampas kembali oleh Barisan Nasional (BN).
Calon BN Parlimen Sabak Bernam, Datuk Abd. Rahman Bakri berkata, hal ini kerana beliau yakin parti itu kali ini dapat menawan hati kebanyakan pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) termasuk pengundi muda.
Katanya, beliau sudah menemui semua lapisan rakyat menjelang pecutan terakhir kempen yang hanya berbaki dua hari.
“Menerusi kempen selama 12 hari, saya mendengar banyak keluhan dan pandangan daripada semua golongan termasuk petani, peladang dan pesawah padi.
“Anak muda turut memberi sokongan positif dan saya berkeyakinan kemenangan akan berpihak kepada BN,” katanya.
Jelas beliau, peningkatan hasil pertanian akan menjadi fokus utama sekiranya diberi mandat sebagai Ahli Parlimen kelak sekali gus membantu pengeluaran hasil padi, mengurangkan kos harga baja yang tinggi dan mengurangkan potongan per tan padi.
“Selain itu, saya mahu mewujudkan satu pusat pengumpulan bagi memasarkan hasil pertanian seperti lengkuas, terung dan tembikai,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menghormati semua calon lawan yang mempunyai kelebihan masing-masing selaras dengan prinsip demokrasi.
“Namun, saya yakin lebih 51,000 pengundi berdaftar sudah bijak menilai dan memilih dengan tepat wakil rakyat baharu mereka.
“Saya masih berpegang kepada prinsip terdahulu sebagai bekas Ahli Parlimen ini iaitu terus berkhidmat untuk rakyat,” katanya.
Abd. Rahman bertanding empat penjuru bagi kerusi Parlimen Sabak Bernam menentang calon Perikatan Nasional (PN), Kalam Sahlan; Shamsul Ma’arif Ismail (PH) dan Datuk Seri Idris Yusof@Eizlan Yusof mewakili Gerakan Tanah Air (GTA).
Pada PRU14 lalu, kerusi itu dimenangi Datuk Mohd. Fasiah Mohd. Fakeh yang mewakili BN namun bertindak keluar UMNO dan menyertai PPBM. – UMNO Online