Tekad Untuk BN, Pengundi Tidak Mahu Salah Pilih Lagi Di Pasir Puteh – Cikgu Awie
PASIR PUTEH 17 Nov- Pengundi Parlimen Pasir Puteh akan kembali memilih Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 Sabtu ini demi memastikan kestabilan dan kemakmuran negara.
Keyakinan itu dilontarkan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Pasir Puteh, Datuk Zawawi Othman yang melihat pengundi tidak mahu lagi salah pilih parti lain kerana BN sentiasa menawarkan manifesto yang terbaik dan berpijak di bumi nyata walaupun tidak menjanjikan bulan bintang.
Katanya, manifesto Perancangan Amal dan Usaha (PADU) BN mampu dilaksanakan dan berpijak di bumi yang nyata.
“BN dari dahulu lagi terbukti dengan kehebatan membuat dan menawarkan polisi yang lebih realistik, bukan retorik iaitu apa kita tawarkan dan kita laksanakan.
“Bagi saya, BN mempromosikan kehebatan BN iaitu polisinya. Kandungan manifesto BN mencakupi segenap aspek dari ibu, bayi, wanita, belia dan juga warga emas.
“Kita lihat bermula dengan pendidikan nasional diberikan seawal usia bawah tujuh tahun adalah percuma. Bantuan pendidikan percuma B40 dan pembayaran hutang PTPN dikenakan satu tahun selepas peminjam bekerja dengan mengikut tangga gaji,” katanya.
Menurutnya, PH pada PRU 14 dalam manifestonya penghapusan hutang PTPTN, tapi selepas menjadi kerajaan lain pula mereka bahaskan tentang PTPTN.
“Ini jelas menunjukkan bahawa PH tidak ada satu perancangan jangka masa pendek dan panjang yang melibatkan impak dari setiap manifesto yang dibuat,” katanya.
Zawawi atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Awie mahu membuktikan bahawa BN mampu mentadbir dan membangunkan negara contohnya projek Tok Bali Supply Base Sdn Bhd (TBSB) dan projek landasan keretapi pantai timur(ECRL) adalah insiatif kerajaan BN bertujuan untuk merancakkan lagi peluang pelaburan di Kelantan.
Katanya, kedua-dua projek ini adalah untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi masyarakat setempat melalui perniagaan dan eko-pelancongan di Pasir Puteh.
“Ini secara tidak langsung memberi impak besar di kawasan sekitar yang perlu dibangunkan. TBSB merupakan sebuh pelabuhan gah yang setaraf dengan pelabuhan Marang dan Kuantan, Pahang.
“Pasir Puteh akan menerima impak ekonomi yang hebat susulan pembangunan beberapa projek utama seperti TBSB dan laluan ECRL apabila siap kelak,” katanya.
Sementara itu, Datuk Zawawi berpuas hati dengan sambutan dan penerimaan masyarakat pada tempoh berkempen pada PRU 15 ini.
“Alhamdullilah, rata rata rakyat memberikan signal positif dan ketika turun ke pasar malam dan pasar minggu BN diterima oleh rakyat dengan senyuman.
“Anak anak muda juga senang didekati dan mahu melihat Pasir Puteh dan Kelantan ini berubah seiring negeri lain sekiranya BN diberi peluang mentadbir negara sekali lagi,” katanya. – UMNO Online