‘Cukuplah Sekali Ditipu’… Dari ‘Chant’ Dapat Tempat Di Hati Khalayak Meriahkan Kempen BN
KUALA LUMPUR, 18 Nov – Lagu ‘Cukuplah Sekali Ditipu’ yang menjadi tema kepada kempen Barisan Nasional (BN) sempena Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 ini semakin popular dan mendapat sambutan daripada para penyokong terutama sekali anak muda.
Lagu yang ditulis oleh SM Amin, Saba dan Fariq Frequensi serta dilantunkan sendiri oleh Fariq Frequensi ini semakin mendapat tempat di hati para pendengar seiring dengan kemeriahan PRU ke-15 kali ini.
Pada asalnya, chant ini dicipta oleh UMNOSiswa dan diinspirasikan daripada lagu tema siri Netflix ‘Bella Ciao’ yang tidak asing lagi dengan penggemar siri drama tersebut.
Memperlihatkan kepada betapa kreatifnya chant tersebut dihasilkan, maka terhasillah sebuah lagu rasmi kempen UMNO/BN ini. Setakat hari ini, video lagu ‘Cukuplah Sekali’ ini telah mencapai 14,000 tontonan di YouTube UMNO Online dan 100,000 tontonan TikTok.
Bukan itu sahaja, rata-rata penyokong UMNO/BN serta pihak lawan mengakui bahawa lagu ini amat catchy sehingga mereka turut sekali menyanyikan lagu ini sekiranya ia berkumandang di mana-mana tempat.
‘Cukuplah Sekali Ditipu’ mengingatkan para pengundi tentang segala janji ‘bulan dan bintang’ yang telah ditaburkan oleh Pakatan Harapan (PH) pada PRU ke-14 lalu, namun gagal ditunaikan termasuk 10 janji 100 hari meskipun mereka berjaya mentadbir negara selama 22 bulan.
Diharapkan lagu ini dapat menjadi iktibar dan pedoman kepada para pengundi khususnya dalam memilih parti yang terbaik untuk membentuk kerajaan pada PRU ke-15 ini. – UMNO Online