Pilih BN Demi Realitikan PADU, Cakupi Semua Aspek Untuk Rakyat Malaysia – Ahmad Zahid

BAGAN DATUK, 18 Nov – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan semasa era pemerintahan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) keadaan ekonomi berada dalam suasana yang cukup lemah.

Ini kerana katanya, sebab itulah BN ingin memperbaiki negara ini terutamanya dari segi ekonomi dan sebagainya yang terdapat dalam manifesto Perancangan Amal Dan Usaha (PADU).

“PADU ada 10 teras dan memperincikan 99 perkara yang meliputi semua golongan masyarakat di Malaysia. Dari segi dalam kandungan hingga ke peringkat yang berusia lanjut. Ianya juga meliputi soal orang Melayu, Cina, India, Orang Asli, Bumiputera di Sabah dan Sarawak dan lain-lain kaum.

“Pengalaman BN selama 62 tahun mentadbir Malaysia dengan baik dan Insya-Allah… mandat yang diberikan ini BN akan mentadbir dengan lebih baik lagi.

“Kita mengakui ada kelemahan, kesilapan dan kesalahan tetapi BN berazam untuk melakukan yang terbaik selepas ini dan memperbaiki apa-apa sahaja telah dialami selama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program bersama warga Pejabat Pendidikan Daerah Bagan Datuk, di sini, semalam. 

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata ini adalah satu usaha BN bagi membantu rakyat.

“Kita tahu bahawa apa yang dilakukan ini adalah satu usaha dan bukan hanya berjanji tetapi satu perkara yang BN boleh lakukan. Kita tidak mahu janji palsu, kita tidak mahu janji bulan dan bintang atau matahari.

“Kita janji sesuatu yang boleh direalisasikan, sesuatu yang boleh memberikan manfaat pada rakyat secara keseluruhannya, sesuatu yang boleh mempertumbuhkan ekonomi dengan baik, boleh menggamit pelabur-pelabur asing, boleh menggalakkan pelabur dalam negeri untuk melabur semula dalam negara ini,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama beliau adalah penyandang kerusi bagi Parlimen Bagan Datuk mengharapkan sekiranya dapat mandat dari rakyat, BN akan memberikan laptop percuma terutamanya bagi golongan B40.

“Mulai tahun hadapan dalam tempoh 18 bulan, Insya-Allah… anak-anak dalam kumpulan B40, kerajaan BN akan memberikan laptop percuma kepada semua dan juga pada guru-guru yang mengajar. Bagi mewujudkan kerajaan memberikan peluang pendidikan yang terbaik daripada pra sekolah hingga ke peringkat Universiti dan untuk kali ini harus ubah cara pengajaran terutama anak-anak kita,” ujarnya.

Tegasnya, dalam tempoh 18 bulan juga di semua sekolah-sekolah seluruh negara akan ada pecawang untuk sistem 5G dan anak-anak muda juga dapat manfaat meliputi rangkaian tersebut. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.