Shahril Sedia Tangani Kerenah Birokrasi Untuk Mudahkan Bantuan Kepada Rakyat

ALOR GAJAH, 16 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Alor Gajah, Shahril Hamdan memaklumkan beliau telah mengenalpasti beberapa perkara asas yang akan diperjuangan sekiranya memperolehi mandat daripada rakyat pada 19 Nov ini.

Katanya ini berkenaan prosedur-prosedur yang dikatakan sebagai karenah birokrasi dihadapi rakyat yang berpendapatan rendah untuk mendapatkan bantuan khususnya daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Saya telah mengenalpasti beberapa perkara tidak disebut dalam manifesto namun antara yang akan saya perjuangankan kalau menang terutama soal prosedur untuk bantuan kebajikan daripada JKM.

“Kadang-kadang prosedurnya dilihat terlalu birokrasi dan terlalu teori contohnya kalau ada Astro kat rumah automatik tidak layak untuk terima bantuan, sedangkan saya pergi ke banyak rumah ada Astro ini tapi ianya mungkin dipasang anak dan ianya tidak mencerminkan pendapatan isi rumah.

“Jadi itu antara salah satu perkara di peringkat Pusat, dasar dan daerah yang saya nak kena tengok sebab ramai yang sepatutnya terima bantuan tetapi disebabkan prosedurnya mengekang.

“… apabila wakil rakyat turun ke bawah kena tahu dan bawa perkara ini ke peringkat atasan untuk dilihat macam mana boleh cuba ubah dasar ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui UMNO Online pada perjumpaan bersama jentera di Pusat Daerah Mengundi Jelatang di Rembia tengah hari tadi.

Shahril yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata begitu juga dengan masalah banjir yang perlu ditangani sebaiknya mengikut kawasan bagi mengetahui punca berlakunya bencana alam ini.

Menurut beliau, kaedah ini penting kerana pengurusan secara umum tidak memberikan penyelesaian dalam jangka masa yang panjang.

“Berkenaan dengan banjir yang telah saya sebut dalam manifesto saya fikir sudah tiba masanya untuk satu perancangan khusus bagi Parlimen Alor Gajah ini untuk kenalpasti setiap punca

“… kerana puncanya berbeza-beza dan kita tidak boleh membuat satu penyelesaian tanpa mengenalpasti punca banjir ini berlaku sebab setiap kawasan lain-lain ada yang sistem perparitan masalah, tebing sungai perlu dinaikkan, ada yang perlukan Rancangan Terbatan Banjir.

“Kita tidak boleh longgokkan semua kepada satu penyelesaian dan andai kata saya dipilih perkara pertama dibuat adalah berbincang dengan agensi-agensi berkenaan dan wakil rakyat sedia ada sebagai satu pasukan sepakat untuk berjuang bagi penyelesaian,” ujar beliau.

Untuk rekod Shahril pada PRU15 ini akan berdepan dengan saingan empat penjuru iaitu calon daripada PH, Perikatan Nasional dan Pejuang. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.