Tengku Zafrul Ajak Pengundi Jayakan Manifesto Iltizam Kuala Selangor, Bukan Janji Palsu

 

KUALA SELANGOR, 16 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Selangor, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata iltizam beliau di kawasan berkenaan seperti yang terangkum dalam manifesto khusus adalah semata-mata untuk masyarakat di kawsan tersebut.

Jelas beliau selain permasalahan setempat seperti banjir dan lain-lain perkara yang membabitkan penduduk, terdapat beberapa tumpuan lain dalam pelbagai aspek dan sektor yang dirangka menerusi manifesto untuk Kuala Selangor.

“Manifesto untuk Kuala Selangor memperlihatkan kita (BN) serius untuk bantu rakyat…janji kita bukan janji palsu… janji yang akan kita kotakan… kita akan selesaikan masalah yang dihadapi oleh penduduk di sini. Isu banjir, longkang dan sebagainya yang menghantui akan diberi tumpuan dan boleh diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya kepada UMNO-Online.

Terdahulu beliau bersama pimpinan dan jentera setempat serta masyarakat di Pusat Daerah Mengundi Sg Darah, di sini.

Turut bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tawar, Datuk Rizam Ismail dan pimpinan BN yang lain.

Tengku Zafrul seterusnya menambah apa pun janji yang ditawarkan oleh BN adalah yang realistik dan akan dilaksanakan sebaiknya jika mendapat mandat nanti.

“Janji BN realistik… pelbagai perkara yang terangkum dalam manifesto adalah perkara yang boleh dilaksanakan dan tentunya itu adalah fokus kepada rakyat,” ujarnya.

Sementara itu dalam ucapan ringkasnya beliau berharap seluruh jentera terus berjuang sehinggaah ke hari pengundian setelah pusat pengundian ditutup.

“Saya amat hargai dan berterima kasih kepada seluruh jentera parti pelbagai  peringkat…tinggal tiga hari lagi marilah kita sama-sama berjuang terus hingga ke hari mengundi.

“Walaupun kali pertama… saya amat teruja dengan sokongan yang begitu padu di sini… insya-Allah semoga  dengan usaha bersama hari  ini, BN akan dapat berkhidmat untuk rakyat Kuala Selangor,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.