PRU15: Kempen Secara Tanggungjawab, Jangan Guna Taktik Kotor Tipu Pengundi – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 15 Nov – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta para penyokong parti pihak lawan yang terdesak untuk berkempen secara bertanggungjawab dan tidak menggunakan taktik kotor bagi menipu para pengundi.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Ahmad Zahid memberikan respons berkenaan tularnya ‘survey’ yang bersembunyi atas nama penyelidikan atau institusi tertentu sebagai propaganda untuk mempromosikan parti tertentu.

“Menjelang hari mengundi semakin terdesak pihak yang tidak bertanggungjawab ini. Malah berani pula menggunakan nama agensi-agensi keselamatan dan kerajaan selain nama institusi penyelidikan bukan kerajaan.

“Tujuannya adalah untuk memesongkan fakta agar pengundi terpengaruh dengan kononnya hasil daripada agensi keselamatan dan badan -badan penyelidik lain.
Bagi yang naif mengenai propaganda politik sudah pasti mereka percaya sebaran palsu puak terdesak ini.

“Namun inilah matlamat pencipta dakyah palsu untuk menarik pengundi. Mencipta persepsi palsu di atas angin dalam usaha menenggelamkan kredibiliti dan keyakinan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN),” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi BN itu turut berpendapat bahawa dakyah palsu ini boleh dilakukan oleh penyokong bagi meningkatkan undi terhadap parti mereka meskipun bakal kalah teruk.

“Pencipta dakyah palsu ini tidak semestinya daripada penyokong yang meletakkan kedudukan mereka paling tertinggi. Ia boleh juga dilakukan oleh penyokong yang meletakkan kedudukan parti mereka nombor dua.

“Hal ini boleh difahami agar pengundi akan memilih di antara nombor satu atau dua sahaja untuk petunjuk kepada pengundi. Strategi ini sangat mudah dibaca bagi sudah tahu helah berpolitik terutama kalangan penyokong mereka berpendapat hanya cara inilah sahaja yang dapat meningkatkan undi terhadap parti mereka. Walaupun hakikatnya parti mereka tidak popular, dijangka kalah teruk dan tidak menjadi pilihan ramai,” katanya lagi.

Ahmad Zahid yang juga penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk turut menyeru agar laporan polis dibuat kerana nama-nama digunakan dalam hasil ‘survey’ palsu itu turut melibatkan kedaulatan negara.

“Saya juga menyeru agar laporan polis dibuat untuk menyiasat pencipta dan penyebar yang menggunakan nama Bukit Aman, MEIO, MKN malah US Embassy dan Indonesia Intel. Jika ini benar-benar berlaku melibatkan negara luar maka ini melibatkan kedaulatan negara.

“Sedangkan lazimnya jika ada kajian pihak keselamatan maka ia adalah di bawah Akta Rasmi Kerajaan (OSA). Keghairahan menggunakan agensi-agensi keselamatan negara adalah menunjukkan betapa terdesaknya kelompok tertentu ini untuk mendapatkan undi hingga sanggup menipu rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berharap agar tindakan tidak bertanggungjawab parti-parti ini akan diberikan pengajaran dan ditolak secara besar-besaran.

“Tindakan tidak bertanggungjawab perlulah diberikan pengajaran besar dan pastikan yang mendakwa parti tertentu mendapat kedudukan nombor 1 dan 2 ditolak secara besar-besaran.

“Cukuplah negara kita hanya sekali kita diperintah 22 bulan dengan slogan mereka manifesto bukan kitab suci dan bersama sekutu mereka parti PPBM. Tolak pemegang manifesto bukan kitab suci. Tolak Pakatan Harapan (PH) dan PPBM beramai-ramai,” katanya lagi.

Pada Selasa media melaporkan bahawa salah sebuah badan penyelidik yang turut dikaitkan dengan hasil survei palsu ini, Ilham Centre menafikan bahawa mereka telah mengeluarkan laporan cerapa lapangan berhubung Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Ini sekaligus menyangkal keputusan survey yang tular menunjukkan unjuran badan penyelidik, bahagian risikan dan agensi berkaitan, berhubung kedudukan kerusi yang boleh dimenangi parti-parti yang bertanding pada PRU ke-15. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.