PRU15: Kerusi Kepada Parti Komponen Bukti Penghargaan BN Waktu Susah Dan Senang – Ismail Sabri

SUNGAI SIPUT, 15 Nov – Pemberian kerusi sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) merupakan penghargaan kepada kesetiaan MIC dan MCA selaku komponen Barisan Nasional (BN) di waktu susah dan senang selama ini.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini adalah konsep Keluarga Malaysia dalam mewujudkan kebersamaan dan sokongan kepada gabungan itu untuk dipilih rakyat pada hari pengundian Sabtu ini.

“Walau susah senang, MCA dan MIC bersama kita. Termasuk pada waktu ahli UMNO sendiri yang lompat parti macam katak, tapi mereka kekal setia. Semangat Keluarga Malaysia inilah yang ada dalam BN, kita sokong rakan-rakan tanpa mengira kaum.

“Inilah masanya kita tunjuk penghargaan kepada pengorbanan MCA dan MIC. Apabila mereka bertanding atau tidak, mereka perlu sokongan UMNO, begitu juga sebaliknya,” kata perdana menteri ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama Keluarga Felda Lasah hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Tampan dan Presiden MIC Tan Sri S A Vigneswaran yang bertanding di Parlimen Sungai Siput mewakili BN.

Dalam ucapannya juga, Ismail Sabri meminta pengundi supaya sedar bahawa BN adalah kerajaan yang menjaga kepentingan rakyat dan bukannya mendatangkan azab kepada mereka selama ini.

“Dahulu ada tukar kerajaan, maka buatlah perbandingan. Kalau rakyat pernah ditipu sebelum ini, jangan dipatuk ular di lubang yang sama lagi, kena sekali sudah lah,” kata beliau. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.