BN Sentiasa Prihatin Kepada Rakyat, Tuduhan Beli Undi Propaganda Politik – Ramlan

KUALA LUMPUR, 15 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Lembah Pantai, Datuk Ramlan Shahean @ Askolani menyifatkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibahim sengaja mencipta propaganda politik dengan menuduh BN membeli undi tentera pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Katanya, BN tidak perlu melakukan perkara tersebut kerana sudah menjadi kebiasaan kerajaan di bahawa pimpinan parti keramat ini untuk prihatin kepada kesemua lapisan rakyat termasuk juga pasukan keselamatan negara yang bertugas tanpa mengira masa.

“Kalau dia kata beli undi tidak betul itu adalah satu fitnah yang tidak baik, ini adalah propaganda politik daripada PH.

“Sebenarnya dari dahulu pun kita sebenarnya menjaga hak rakyat termasuk para anggota termasuk Polis Diraja Malaysia dan pada saya kerajaan BN sentiasa prihatin terutama kepada yang beruniform ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui UMNO Online selepas melakukan tinjauan di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman bagi proses pengundian awal yang berlangsung sejak pagi tadi.

Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebelum ini juga turut menempelak Anwar kerana menidakkan integriti dan maruah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), menerusi kepentingan politik yang sempit.

Sementara itu, Ramlan pada masa sama meluahkan kesyukuran di atas kelancaran pengundian awal sebentar tadi dan percaya akan sokongan daripada pasukan beruniform itu untuk memberikan mandat kepada BN bagi menerajui negara.

“Alhamdulillah undi awal ini berjalan lancar di PDRM awal pagi tadi ke Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) dekat Universiti Malaya ada 46 pengundi.

“Insya-Allah di sini pun saya nampak perjalanan cantik pada saya percaya ia akan memihak kepada kita,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Ramlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai percaya dengan kerjasama dalam kalangan jentera BN untuk merampas kembali kerusi kawasan terbabit daripada Pakatan Harapan (PH).

Menurut beliau, momentum sokongan rakyat kepada PH sudah berakhir dan menyifatkan PRU15 ini masa terbaik untuk BN melakukan terbaik buat rakyat di kawasan ini.

“Saya berharap jentera jangan leka atau selesa sebab kita telah bekerja kuat sebelum bubar Parlimen lagi jadi yang penting dapat kesan undi putih itu kena pastikan pada 19 Nov itu petugas-petugas parti turun awal tidak kira waktu penjadualan itu kerana kita risau cuaca tidak menentu ketika ini takut nanti apabila jentera tidak turun bila petang hujan atau ribut tidak boleh mengundi,

“Kerana kita lihat sekarang momentum itu agak baik pada BN, kita jangan persia-siakan peluang kali ini kerana sudah tiga penggal PH menjadi Ahli Parlimen pada saya jika mereka kata buat kerja tetapi kita akan buat lebih baik daripada yang ada sekarang.

“Sebab trek rekod BN semasa 1990, Datuk Mohamed Kamal Hussain meninggalkan trek rekod yang baik, kemudian Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil tiga penggal dan walaupun Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin tidak menjadi wakil rakyat namun ketika beliau menjadi menteri Wilayah Persekutuan banyak yang beliau bantu untuk penduduk di kawasan ini.

“Jadi legasi itu kalau ditakdirkan saya menjadi Ahli Parlimen saya akan meneruskan legasi itu dan mungkin melakukan penambahbaikan,” katanya.

Untuk rekod, Ramlan pada PRU15 ini akan berdepan dengan saingan empat penjuru iaitu calon daripada PH, Perikatan Nasional dan Pejuang. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.