Nilai Kembali Prestasi, BN Perlu Diberi Ruang Di Alor Gajah

MELAKA, 14 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) parlimen Alor Gajah, Shahril Hamdan mengajak pengundi menilai kembali prestasi yang wakil rakyat sebelum ini lakukan.

Sama ada ia benar-benar memberi kepuasan kepada pengundi atau sebaliknya, ia perlu dilihat kembali khususnya dalam aspek peluang pekerjaan dan pembangunan yang disediakan.

Shahril pada Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini akan bertembung dengan tiga calon lain iaitu Datuk Mohd Redzuan Yusof mewakili Perikatan Nasional (PN), Adly Zahari mewakili Pakatan Harapan (PH) dan Muhammad Nazriq Abdul Rahman mewakili Pejuang.

“Saya selalu katakan mereka sudah ada legasi di Alor Gajah berbanding dengan saya. Bagaimanapun, saya memujuk pengundi-pengundi untuk melihat prestasi terdahulu, memandangkan mereka telah diberi peluang untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Saya tanya kepada rakyat secara terhormat dan rendah diri, adakah jumlah pekerjaan bertambah, apakah Alor Gajah mendapat pembangunan sewajarnya atau isu air semakin baik ketika mereka berkhidmat?

“Jika jawapannya tidak ke arah yang positif, apa salahnya beri peluang kepada parti dan calon baharu untuk mengembalikan satu era yang lebih baik di Alor Gajah,” katanya.

Dalam masa yang sama, Shahril turut berkata, meskipun beliau berdepan dengan calon-calon heavyweight, namun gerak kerja BN di Alor Gajah sangat memberangsangkan, dibantu ketiga-ketiga komponen utama termasuk Friends of BN.

“Walaupun saya hadir di sini sebagai calon, tetapi mereka melihat lambang dacing itu memberi isyarat jenis perjuangan, kebajikan dan pembangunan ekonomi untuk rakyat.

“Jentera MCA tidak ada masalah tapi secara umumnya saya hormati pendirian masyarakat Cina. Pendirian mereka tidak boleh dipandang mudah kerana ada parti mengambil kesempatan seolah-olah mereka pasti akan undi parti A, undi parti B. Selain itu, terdapat juga pengundi-pengundi bukan Melayu telah menzahirkan sokongan awal kepada BN dan saya ucapkan terima kasih,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.