Suara Perwakilan Sokong Teras Dan Hala Tuju Parti, Yakin UMNO Bangkit Kembali
KUALA LUMPUR, 30 Sept – Tujuh teras yang digariskan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2018 semalam, mendapat sokongan perwakilan UMNO.
Menyentuh teras berkenaan Kerajaan Menanti, Perwakilan Labis, Khairul Nizam Ab. Manap amat yakin jika perjuangan UMNO ini diperbaharui dan jika pemimpin atasan sentiasa peka dengan keluhan rakyat.
“Insya-Allah UMNO akan diterima semula oleh rakyat. Semasa pemerintahan sebelum ini, tiada parti pembangkang yang memperjuangkan, membangunkan dan memajukan bangsa Melayu kecuali UMNO,” sambungnya.
“Dari dulu pemimpin kita berkorban jiwa dan raga memperjuangkan nasib rakyat. Berbaloi atau tidak, kita kena tanya semula pada diri sendiri.”
Bagi Ketua Puteri UMNO Bahagian Ipoh Timur, Norrhidayu Husin bersependapat dengan dasar yang diuar-uarkan Presiden UMNO tentang pembaharuan yang perlu dilakukan oleh parti tersebut.
“Bersihkan dahulu sistem dalaman parti, cara organisasi, sebelum kita sentuh isu luar. Jangan anak dipangku dilepaskan, beruk di hutan disusukan.”
Mengulas lebih lanjut berkenaan Pemerkasaan Parti, Norrhidayu menyeru penggunaan media sosial digerakkan dan digunakan sebaiknya bagi menangkis tohmahan dan fitnah yang dilemparkan dengan bukti yang kukuh.
“UMNO sepatutnya menggunakan media sosial serta media massa sebagai saluran untuk menjawab apa-apa isu yang dibangkitkan, kerana di zaman yang serba mewah dengan teknologi ini, rakyat lebih suka menggunakan media sosial sebagai sumber maklumat,” jelasnya lagi.
Senada dengan Norrhidayu, Pemuda UMNO Bahagian Subang, Aiman Jaafar berpandangan bahawa UMNO perlu memenangi media sosial di mana maklumat tersebar.
Beliau juga menyokong idea untuk meremajakan UMNO bagi mendapatkan semula sokongan dari generasi muda.
“Jika UMNO berjaya memenangi media sosial sepertimana yang dilakukan oleh kerajaan hari ini ketika menjadi pembangkang, saya percaya UMNO akan dapat mentadbir semula.” – MediaUMNO