Turun Padang Bermusim, Rakyat Luah Sesal Sikap YB PH – Zolkafly
IPOH, 1 Sept – Ketua UMNO Bahagian Sungai Siput, Datuk Mohd Zolkafly Harun memaklumkan rakyat meluahkan kekesalan mereka ekoran sikap wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) yang hanya turun secara bermusim.
Namun katanya dengan desas-desus menghampiri Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini sahaja yang memungkinkan mereka untuk turun padang menjengah permasalahan rakyat.
“Mereka turun padang dalam masa terdekat ini sahaja, sebelum ini sebagai Ahli Parlimen dengan peruntukan yang ada tidak ada pun turun untuk dia gunakan sebagai kesempatan jumpa rakyat, badan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya.
“Sebenarnya PH ini dia menggunakan peruntukan yang diberikan dalam memorandum persefahaman (MoU) untuk menarik sokongan daripada pengundi namun bagi saya itu hanyalah sementara,” katanya ketika ditemui secara eksklusif bersama UMNO Online baru-baru ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang berkata rakyat yang beliau temui juga meluahkan kecewa dengan PH kerana tidak menepati janji berkenaan manifesto yang ditawarkan mereka pada PRU-14.
Katanya transisi itu juga turut berlaku kepada golongan muda yang bakal menunaikan tanggungjawab mereka pertama kali pada PRU-15 kelak.
“Ada perubahan yang cukup besar dalam kalangan pengundi termasuk orang muda dan dewasa, hubungan UMNO Bahagian dengan pengundi dilakukan secara bersama maknanya mendekati, menyelami hati nurani kerana mereka sudah rasa menyampah dan kecewa dengan PH.
“Pengundi telah tertipu dengan janji-janji manis bulan dan bintang, akhirnya menyesal dan kecewa kerana pada PRU-14 mereka telah terpedaya dan terpengaruh dengan manifesto PH.
“Kita telah berada dalam keadaan yang pahit selama 22 bulan ini adalah kesedaran pengundi, perkara ini telah ditunjukkan di Melaka dan Johor malah juga boleh berlaku di negeri ini,” ujar beliau.
Untuk rekod, Parlimen Sungai Siput ketika ini disandang oleh PH, S. Kesavan dengan kemenangan majoriti sebanyak 5,607 undi menewaskan calon BN, Datuk Seri S. K. Devamany; Pas, Dr Ishak Ibrahim dan Parti Sosialis Malaysia, Dr. Michael Jeyakumar Devaraj.
Sementara itu di peringkat DUN, PKR turut menang di Jalong dalam pertembungan dua penjuru, bagaimanapun Lintang menyaksikan BN mengekalkan kemenangan menerusi tiga penjuru. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib