Fitnah Jadi Modal Raih Laba Politik… Cukuplah PRU14 Jadi Pengajaran

PERANG persepsi telah bermula, strategi membunuh karektor digunakan bagi menjatuhkan pemimpin utama sesebuah parti. Kenapa sekarang?

Umum mengetahui Pilihan Raya Umum (PRU) semakin hampir. Hakikatnya bukan kerana desakan semata tapi tempoh penggal penyandang kerusi kerusi parlimen sudah masuk tahun yang terakhir.

Jika bukan sekarang bila lagi?

Sudah tentu jika tidak dilakukan sekarang sememangnya parti atau ahli ahli politik akan ketinggalan dalam persaingan 5 tahun sekali ini.

Realitinya ramai yang keliru antara mengapa perlu berpolitik sedangkan fokus adalah perlu kepada pembangunan dan kebajikan rakyat terutamanya ketika proses pemulihan pasca pandemik dengan desakan untuk mengadakan pilihan raya.

Sebenarnya tidak timbul soal kekeliruan jika situasi semasa kerajaan dan tempoh penggal yang ada diambil kira. Yang menimbulkan kekeliruan adalah ahli-ahli politik yang tidak bertanggungjawab iaitu yang terdesak serta ghairah meraih laba politik.

Menyerang ketua atau individu berpengaruh dengan melekatkan perspektif negatif terhadapnya merupakan senjata ampuh yang digunakan pada PRU14 dan skrip serta pelakon yang sama kembali lagi. Pada PRU14, bukan sahaja strategi membunuh karektor ini rancak, malah pelbagai formula baru diterbitkan demi mewujudkan suatu situasi yang kononnya baharu iaitu yang menjanjikan harapan yang baharu terutamanya untuk menarik perhatian generasi baharu.

Ya, strategi mereka berjaya, melalui mempesonakan rakyat namun membina negara atau ketamadunan tidak semudah membina persepsi. Tadbir urus negara dan permasalahan rakyat adalah realiti yang tidak boleh diselesaikan dengan perspektif.

Sebab itu 22 bulan pemerintahan penuh dengan retorik dan ketidakstabilan sehingga mengundang kejatuhan sendiri kerana perspektif itu mengaburi realiti. Walau tidur sebantal tapi mimpi lain-lain tidak akan membawa negara ke mana-mana malah membantutkan apa yang telah dibina.

BN tertubuh atas semangat pelbagai parti terutamanya kaum yang bersesama membina negara bukan kerana memperjuangkan atau terikut perjuangan pemimpin tertentu. Bukti jelas pemimpin dalam komponen BN bertukar ganti namun BN tetap utuh kerana akar umbinya ada asas kuat yang diperjuangkan.

Akan tetapi Dap, Pas, PKR, Amanah dan PN umpamanya tertubuh kerana ideologi sempit dan wujud setelah berlakunya krisis kepimpinan serta atas usaha pemimpin, jadi agenda peribadi lebih monopoli berbanding agenda rakyat.

Masa yang sesuai untuk menabur fitnah telah kembali. Jika dulu modal kapal Equanimity digunakan sekarang ini kapal tempur pesisir (LCS) pula digunakan. Jika dulu 1MDB digembar gemburkan sekarang kes SRC diputar belitkan. Dulu janji hapus hutang PTPTN, tol dan pelbagai percuma nak beri untuk kali ini kita belum dengar lagi.

Mungkin sikit masa lagi mereka tengah memikirkan modal yang sesuai untuk dikeluarkan. Begitu juga formula-formula ajaib kita tunggu je. Atau apa kata kita desak pakar formula songsang itu bagi hint sikit supaya kita tak terperanjat.

Sebelum ini isu Sapura Eenergy menghangatkan negara sehingga membawa perdebatan terbuka antara dua tokoh utama negara Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Perdebatan yang bukan untuk mencari siapa menang atau kalah berakhir dengan rakyat boleh menilai siapa pejuang sebenar rakyat dan berhujah secara berfakta.

Jelas retorik, persepsi dan realiti yang mana menguasai, rakyat boleh menilai. Rentetan isu itu pemfitnah Rafizi Ramli disaman oleh bekas CEO Sapura Energy, Tan Sri Shahril Shamsuddin. Mahkamah telah memerintahkan Rafizi membela diri, jelas menunjukkan bahawa perkara yang dibangkitkan itu tidak benar dan dimanipulasi.

Ini bukan kali pertama beliau didakwa malah beliau pernah dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan. Dua persoalan bagaimana beliau boleh bebas dan tak serik serik ke? Jawapannya sebab ketika itu pemerintahan PH dan beliau tak serik mungkin sebab besar jumlah bayaran yang diterima.

Dalam isu Sapura Eenergy kenapa desakan daripada pemimpin UMNO begitu kuat mempertahankannya?

Ini kerana UMNO sedar tentang prospek dan rasa bertangungjawab yang bukan sahaja menyelamatkan syarikat akan tetapi imej negara, profesional tempatan yang ada serta kepentingan pemegang pemegang saham yang melibatkan ramai rakyat Malaysia.

Jika tiada prospek itu lain cerita, akan tetapi prospek sangat cerah dan kemampuan untuk diselamatkan melalui Petronas dengan jaminan kerajaan tidak melibatkan dana awam. Dana awam tak terusik dan banyak pihak boleh terus mendapat manfaat darinya. Akan tetapi kenapa isu isu sebegini terus dimainkan?

Matlamatnya mudah, apabila institusi utama yang melibatkan awam ini terjejas sudah tentu keadaan akan menjadi kelam kabut dan tidak terkawal. Kerajaan akan dilihat gagal dan bermasalah iaitu tak mampu nak selamatkan atau kawal keadaan. Yang paling utama kerajaan hendak dilabelkan sebagai gagal.

Apabila ianya terjadi seperti yang mereka rancangkan sudah tentu kelebihan akan berpihak kepada mereka. Sebab itu modus operandi yang sama berterusan cuma entiti yang digunakan sahaja berbeza. Dalam isu LCS modus operandi yang sama juga diguna.

Menarik tentang isu LCS ini, tiba tiba pula nama Zainab muncul. Siapa Zainab? Jika sebelum ini UMNO, Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Hussien dikatakan terlibat tapi kenapa Zainab yang keluar.

Zainab pula dikaitkan dengan Dr Latiff Ahmad, Menteri yang juga Ahli Parlimen PPBM. Apa yang Rafizi cakap sebelum ini dengan yang baru dikeluarkan ternyata jauh menyasar, terpaksa ke nak menegak benang yang basah?

Rafizi ini memang layak diberi gelaran raja fitnah, apa sahaja yang boleh dijadikan modal akan dibuatnya malah mencipta pelbagai fitnah demi untuk menghuru-harakan suasana. Inilah istimewanya Rafizi kita pun tak tahu apa pedoman yang dipegang sehingga matlamat menghalalkan cara. Kita doakan semoga beliau mendapat hidayah yang sebenar.

Peliknya ramai juga yang terpengaruh. Kepada Allahlah kita berserah, semoga Malaysia terus dirahmati dan dilindungi.
Rakyat sememangnya telah terkesan dan ramai yang tercengang pada masa 22 bulan pemerintahan PH, rata-ratanya sesal.

Di bawah pemerintahan PM DNA PH rakyat dikakukan, situasi politik sentiasa berada dalam keadaan kejutan yang tiada perkembangan dan sejarah tercipta perlembagaan digantung.

Situasi kini jauh lebih baik namun sepatutnya boleh lebih baik jika DNA DNA menteri yang ada benar-benar menggunakan kedudukan untuk rakyat. Ternyata survival politik lebih utama dari rakyat jadi banyak dasar tidak pro rakyat.

Kesimpulan daripada PRU14, negara tiada kemajuan yang signifikan dan kehidupan rakyat tidak banyak berubah. Bukan ke PRU adalah untuk kita menganjakkan negara dan kehidupan ke tahap seterusnya yang lebih baik?

Jadi pada PRU15 tidak boleh buat silap lagi rakyat tidak boleh dibawa berpolitik sepanjang masa akibat ketidakstabilan. Kestabilan itu penting untuk membawa negara ke tahap seterusnya.

Cukuplah PRU14 menjadi pengajaran. Kita telah jauh ketinggalan dan tiada masa untuk bereksperimen, rakyat telah merasai antara BN, PH, PN dan kerajaan campuran. Hati yang jujur pasti mengatakan BN yang terbaik kecuali hati yang telah berkeladak menjauhkan rasional daripada membuat penilaian yang tepat.

Oleh: Norman Sapar

********************************

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.