DNA UMNO/BN Sentiasa Beri Khidmat Terbaik Untuk Rakyat, Bukan Bermusim – Wan Hisham

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Jelas berbeza antara UMNO/Barisan Nasional (BN) dan parti-parti lain di negara ini di dalam memberi khidmat kepada rakyat, kata Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Hisham Wan Salleh.

Dalam konteks Negeri Terengganu, Wan Hisham berkata walaupun UMNO/BN bukan menjadi kerajaan, UMNO/BN tetap menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat tanpa menunggu musim pilihan raya umum (PRU).


“Itu sebenarnya perbezaan antara BN dan Pas. BN sama ada kita kerajaan, YB (Yang Berhomat-wakil rakyat) atau tidak, kita ada penyelaras yang menjaga rakyat terutama apabila kita memerintah, menjadi kerajaan di Terengganu.

“Tetapi apabila tidak perintah, kita jaga juga bukan sahaja musim dekat PRU. Memang budaya DNA UMNO tak boleh melihat rakyat sengsara. Walaupun kita tidak mampu sebagaimana sebelum ini tetapi kita akan cuba sedaya upaya kita.

“Macam PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kita buat ‘food bank’, ringankan beban rakyat. Dia (Pas) mula nak buat satu persatu ambil hati rakyat dengan mula membelanjakan duit apabila hampir PRU, percayalah… bagilah duit, orang ambil tapi undi belum tahu,” katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama UMNO Online.

Jelas Wan Hisham lagi, rakyat semakin sedar akan kegagalan kerajaan negeri menjaga kebajikan dan mula membuat perbandingan dengan kerajaan terdahulu pimpinan BN.

“Saya melihat sentimen di bawah, rakyat di bawah terutama di atas pagar yang melihat kegagalan kerajaan Pas hari ini. Mereka gagal untuk menjaga kebajikan rakyat, gagal beri khidmat yang terbaik dari segi menjaga kebersihan, dari segi keperluan dan macam-macam dia mula membandingkan zaman kerajaan BN dan zaman kerajaan Pas.

“Dan apabila itu berlaku dan mereka tahu dan mereka telah membuat keputusan sebenarnya. Sebab itulah setiap kali saya jumpa akar umbi di bawah, soalan pertama ditanya hendak PRU? Sebab mereka tidak tahan dan tidak sabar lagi dah,” ujarnya.

Jelasnya lagi, walaupun pandangan rakyat terhadap kerajaan negeri sebegitu, ia tidak boleh dipandang ringan oleh BN kerana akan ada faktor memancing undi ketika hampir PRU kelak.

“Dan kita tidak boleh ambil mudah Pas ini. Mereka mungkin tidak bagi masa awal-awal tetapi mereka kumpul duit bagi masa dekat-dekat PRU. Jadi semua apa yang dibuat pada hari ini lebih kepada memancing undi dan selepas PRU mereka akan lupa.

“Jadi sebab itulah apabila niat kerajaan hari ini hanya memfokus kepada PRU, berbeza zaman BN sama ada PRU atau tidak, kita tetap menjaga kebajikan. Tapi kerajaan hari ini hanya mula nak menjaga kebajikan apabila dekat dengan PRU. Jadi, ini taktik lama yang rakyat sudah faham, sebab itulah dia buat macam itu tidak menjadi,” katanya.

Justeru, Wan Hisham berharap rakyat bersama-sama dengan BN untuk memajukan semula Terengganu dan menyambung siaran yang tergendala dari 2018 sehingga 2022 ini.

“Lima tahun siaran tergendala kita rugi hampir sepuluh tahun nak kejar balik. Sebab itulah saya menyeru kepada rakyat yang belum buat keputusan lagi kita yakinkan.

“Yakinlah kerajaan BN ada ‘check and balance’ (semak dan imbang), tidak boleh buat sewenang-wenangnya, ada sistem yang boleh semak pemimpin kita, yang boleh kita tegur,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.