Usah Retorik, Hapus ‘Warlord’ – Razlan

KUALA LUMPUR 27 Sept. – Usah retorik dan hapuskan penguasaan ‘warlord’ di semua peringkat dalam UMNO.

Itu peringatan bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Razlan Rafii terhadap kepimpinan parti selepas ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Razlan berkata, Perhimpunan Agung UMNO 2018 yang akan bermula esok sehingga 30 September ini seharusnya menjadi lebih terbuka bagi membantu menguatkan parti serta mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap UMNO.

“Jangan retorik dan mengamalkan lagi sikap yang tidak sentuh kepada kenyataan akar umbi. Mereka tidak mahu tengok pemimpin yang terlalu lama memerintah kerana realitinya akar umbi hendak tengok perubahan, maksudnya perubahan ke arah pembikinan dan menguatkan parti.

“Perhimpunan kali ini memang terbuka termasuk hendak menegur Presiden, Timbalan mahupun Ahli majlis tertinggi (MT). Saya mengharapkan UMNO tumpu masalah sebenar yang kita hadapi ketika ini,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Dalam pada itu, Razlan berkata, UMNO seharusnya mengambil kesempatan di atas kelemahan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH).

“UMNO kena serang kerajaan (PH) yang banyak sangat memberikan kita peluru untuk menyerang mereka. Kita kena ambil peluang yang ada.

“Perwakilan yang ada juga perlu buka minda kerana kerajaan baharu ini terlalu banyak membuat kesilapan, jadi kita bongkar dan tunjukkan kepada rakyat,” ujarnya.

Sementara itu, Exco Pergerakan Puteri UMNO, Natassia Roslan berkata, kepimpinan tertinggi perlu menerangkan hala tuju parti yang disifatkan tidak jelas dan meragukan.

Katanya, ahli khususnya golongan muda mahu satu penerangan dan mekanisme yang jelas terhadap usaha membina semula parti selepas tewas pada pilihan raya lalu.

“Kita anak muda tidak nampak dan buntu akan hala tuju parti. Pada awal dulu mereka cuba bangkitkan semangat untuk membina dan mengembalikan kegemilangan UMNO namun mekanisme yang akan digunakan tidak jelas.

“Kita mengharapkan hala tuju lebih jelas, menerangkan hala tuju dan kongsi di setiap peringkat apa gerak kerja untuk memperkukuhkan parti. Kita agak keliru, kejap bersama Pas, ada pemimpin tunjuk sokongan terhadapa Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“kita hendak gerak bagaimana? Kerajaan sekarang pun tidak nampak kuat, berpecah-belah. Jadi, kita yang di bawah menunggu (gerak kerja) tetapi berapa bulan selepas kekalahan, masih belum ada penyelesaian yang konkrit,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.