‘Tak Banyak Tetapi Sentiasa Peduli’, UMNO Sg Petani Tidak Putus Asa Berkhidmat

SUNGAI PETANI, 1 Ogos – Berpegang kepada ‘tagline’ ‘Tak Banyak Tetapi Sentiasa Peduli’ UMNO Sungai Petani menjadikan politik khidmat bakti sebagai teras perjuangan mereka di kawasan berkenaan biarpun beberapa kali memasuki Pilihan Raya Umum (PRU), masyarakat masih lagi memilih pihak lawan berbanding Barisan Nasional (BN).

Tanpa berputus asa, Ketua UMNO bahagian Datuk Shahanim Mohd Yusoff berpegang kepada prinsip berkenaan malah beliau percaya pada satu hari nanti masyarakat akan dapat membuat penilaian siapakah yang sebenarnya ‘berkhidmat’ di kawasan berkenaan.

Jelas beliau selepas PRU yang lalu sehingga ke hari ini UMNO/BN sentiasa mendekati rakyat dan paling utama saat negara dilanda pandemik COVID-19, ianya adalah masa yang cukup mencabar apabila ramai yang terkesan dalam usaha kerajaan menangani pandemik tersebut.

“Penduduk Sungai Petani cukup ramai…anggaran 500 ribu lebih. Bantuan COVID kepada keluarga yang ditimpa musibah pandemik tersebut sampailah ke hari ini kita masih meneruskannya dengan pemberian bakul makanan dan sebagainya lagi,” katanya kepada UMNO-Online dalam satu wawancara khas baru-baru ini di sini.

Sentuhan bersama penduduk setempat tambah Shahanim lagi diteruskan lagi dengan aspek pendidikan dan ia menjadi rutin kepada UMNO/BN Sungai Petani menerusi pelbagai program dan sebagainya.

Beliau seterusnya berkongsi luahan dan rintihan masyarakat yang mahukan UMNO/BN berkhidmat di kawasan tersebut dan tidak mustahil pada PRU akan datang akan menjadi realiti.

“Inilah yang saya boleh kongsikan…jika dahulunya ada yang mengelakkan diri apabila berjumpa apatah lagi jika untuk memanggil kami menerusi mesyuarat PIBG dan sebagainya. Dan hari ini juga mereka tidak malu-malu lagi apabila berjumpa menerusi program-program kerajaan dan sebagainya lagi.

“Apa pun keadaannya boleh dikatakan cukup berubah dan ini menampakkan signal masyarakat mula terima dan mula membuat perbandingan di Sungai Petani,” ujarnya.

Meneruskan wawancara, Shahanim seterusnya menambah majoriti kemenangan sesuatu parti bukanlah satu ukuran yang sebenarnya kerana beliau percaya usaha yang keras serta muafakat yang padu daripada jentera pelbagai peringkat akan membuahkan hasil.

“Kami jadikan semua ini sebagai satu semangat…jadikan ini sebagai satu cabaran untuk kami terus buat kerja.

“Rakyat boleh nampak dan boleh lihat parti mana yang buat kerja dan yang berkhidmat untuk mereka biarpun hampir tiga penggal BN tidak diberikan kepercayaan. Kita berkhidmat kepada rakyat secara berterusan…insya-Allah” tambahnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.