Obor Perjuangan UMNO/BN Berterusan, Kian Meningkat Menjelang PRU-15
KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Obor perjuangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) berterusan marak sehingga ke hari ini biarpun pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu parti berkenaan tidak diberi peluang oleh masyarakat untuk berkhidmat secara rasmi kepada mereka.
Saban minggu pimpinan dan jentera pelbagai peringkat turun padang terutama apabila masyarakat ditimpa musibah kerana itulah objektif perjuangan UMNO yang sentiasa dekat dan terus menerus berkhidmat kepada rakyat.
Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Annuar Ahmad dalam satu wawancara khas bersama UMNO-Online baru-baru ini berkata contoh terdekat apabila Merbok dilanda dengan banjir kepala air pada satu ketika dahulu, UMNO/BN bertungkus-lumus membantu masyarakat yang ditimpa musibah walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran.
“Alhamdulillah… semua keluarga UMNO turun membantu. Daripada situ kita lihat dan nampak bergerak sebagai satu pasukan walaupun dengan keadaan yang terbatas dan berjaya membantu masyarakat pada ketika itu.
“Ketika berdepan musim pandemik pula pelbagai usaha diambil membantu mereka yang terkesan. Ini tidak lagi diambil kira bencana semasa dan sebagainya. Inilah UMNO dan inilah BN yang mengutamakan rakyat,” katanya kepada UMNO-Online.
Menyentuh kesiapsiagaan UMNO dan BN Merbok untuk menghadapi PRU akan datang, beliau menjelaskan mana-mana kawasan di seluruh negara tentunya akan berdepan cabaran, cumanya mungkin setiap cabaran itu akan berbeza.
Katanya pertambahan pengundi, pengundi muda dan isu-isu yang akan dimainkan kelak sudah pasti sedikit sebanyak akan mempengaruhi pola pengundian pada PRU nanti dan UMNO Merbok sudah membuat penelitian sewajarnya.
“Parlimen Merbok yang mempunyai dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tanjung Dawai dan Bukit Selambau sememangnya ada cabaran tersendiri dan jentera di pelbagai peringkat akan memberi tumpuan khusus dalam usaha mencapai kemenangan kelak.
“Namun ianya tidak cukup dengan semangat… tidak cukup dengan sekadar tumpuan sebaliknya perlukan momentum sokongan yang berkekalan daripada masyarakat setempat untuk membantu kejayaan kita nanti.
“Saya percaya mementum itu dah ada… dan saya yakin kita dapat memenangi hati rakyat insya-Allah. Jika diberikan kepercayaan nanti BN akan melaksanakan yang terbaik untuk masyarakat di Parlimen Merbok dan DUN Tanjung Dawai serta Bukit Selambau,” tambahnya. – UMNO Online
Oleh: Azman Abas