PKR Tak Ke Mana Tanpa Sekapal Dengan Dap… Hilang Kredibiliti, Kitar Semula Pemimpin – Shah Headan

KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah menyifatkan PKR hanya menumpang sokongan pengundi Dap untuk menjadikan Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan terutama pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Katanya ini kerana, PKR menyedari bahawa mereka tidak mampu untuk bersandar semata-mata dengan sokongan penyokong dan akar umbi.

“Kalau kita lihat balik PKR bukan sebuah parti yang boleh bercakap mengenai prinsip mereka sendiri, dia kena balik kepada ‘boss’ iaitu Dap.

“PH termasuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu tidak ada apa-apa termasuklah yang lain-lain itu adalah proksi kepada Dap, mereka (PKR) tidak mampu menang hanya bersandarkan ahlinya yang boleh menang itu disebabkan ‘pinjam’ sokongan Dap.

“Mereka tipu isu nasional… di Balik Pulau, PKR hanya dapat tujuh hingga ke lapan peratus sahaja undi atas pagar ini dan dapat 97 peratus (undi Dap) yang memilih mereka,” katanya ketika ditemui secara eksklusif bersama UMNO Online.

Shah Headan yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Bahang turut berkata PKR ketika ini seperti ketandusan pemimpin berkredibiliti dalam mengemudi parti itu.

Menurut beliau, perkara ini dapat dilihat apabila akar umbi recycle atau memilih kembali Rafizi Ramli yang sebelum ini mengumumkan untuk meninggal dunia politik.

“PKR tidak ada pilihan mereka hanya ada Rafizi yang sudah hilang kredibiliti sampaikan terpaksa kitar semula pemimpin yang pernah buat bohong itu menunjukkan mereka ketika ini berada pada keadaan paling rendah.

“Mereka tidak ada siapa-siapa untuk menawarkan perkara baharu sebab itu terpaksa pakai jeneral yang kalah perang.

“PKR terdesak dan tidak ada orang berkredibiliti jadi ahli UMNO, pengundi jangan masuk lubang biawak dua kali sekali dah masuk tak kan nak masuk kali kedua,” ujar beliau.

Kerusi Parlimen Balik Pulau ketika ini disandang oleh PRK yang menewaskan calon BN pada PRU-14 lalu. UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.