Raja Permaisuri Agong Ucap Selamat Jalan Kepada Jemaah Haji
SEPANG, 20 Jun – Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan mengucapkan selamat jalan kepada bakal jemaah haji Malaysia yang akan berlepas ke Tanah Suci bagi musim haji 1443H/2022 di Kompleks Haji Sepang (Movenpick) di sini.
Keberangkatan tiba Raja Permaisuri Agong pada kira-kira 10 pagi disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.
Tuanku Azizah yang membacakan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dalam titahnya menyatakan kesempatan bertemu dan mengucapkan selamat jalan kepada tetamu Allah itu membawa erti besar kerana telah dua tahun rakyat Malaysia menanti untuk menunaikan ibadah haji akibat pandemik COVID-19.
“Saya dan Raja Permaisuri Agong amat bersyukur kerana pada tahun ini rakyat saya telah kembali menerima jemputan daripada Allah untuk menjadi tetamu Allah di Tanah Suci. Alhamdulillah,” titah Seri Paduka.
Al-Sultan Abdullah dalam titahnya menasihatkan para jemaah haji untuk terus menjaga kebersihan diri dan memastikan semua arahan pihak berkuasa serta prosedur operasi standard sentiasa dipatuhi, memandangkan situasi pandemik dunia yang masih belum pulih sepenuhnya.
“Jemaah haji Malaysia diminta untuk sentiasa menjaga akhlak dan menjauhi segala anasir tidak sihat yang boleh menjejaskan imej serta nama baik negara.
“Semua jemaah haji harus mematuhi dan menghormati peraturan serta undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi demi menjaga hubungan kedua-dua negara yang sudah lama terjalin,” titah baginda.
Seri Paduka bertitah sepanjang berada di Tanah Suci para bakal jemaah haji hanya perlu menguatkan niat untuk melaksanakan ibadat haji dengan sempurna, selain memastikan semua nasihat dan arahan TH dipatuhi.
“Justeru, sahutlah panggilan daripada Allah dengan memperbanyakkan amalan wajib dan sunat sebagai tanda syukur atas segala nikmat yang telah dikurniakan.
“Hanya dengan pelaksanaan ibadat haji yang sempurna dan disulami pula dengan akhlak yang baik akan menjanjikan haji yang mabrur. Insya-Allah,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah bakal jemaah haji perlu bersyukur atas nikmat keamanan yang dikecapi negara kerana keamanan yang dinikmati selama ini telah membuka ruang kepada mereka untuk menunaikan Rukun Islam kelima dengan selamat dan selesa.
Seri Paduka bertitah hubungan erat yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Arab Saudi turut menyumbang kepada jemaah haji Malaysia kembali ke Tanah Suci, serta menzahirkan ucapan penghargaan dan setinggi-tinggi terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi atas segala kerjasama dan bantuan yang telah diberikan.
“Kami amat berharap hubungan yang erat antara kedua-dua negara ini akan berterusan untuk manfaat jemaah haji dan ummah kita. Insya-Allah,” titah baginda.
Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan rasa sukacita dengan persediaan dan komitmen tinggi yang dipamerkan Tabung Haji (TH), agensi kerajaan dan pihak swasta yang terlibat dalam operasi haji tahun ini dalam usaha mengekalkan kualiti perkhidmatan yang diberi kepada jemaah haji negara.
Seri Paduka bertitah agar TH meneruskan usaha-usaha memantapkan sistem pengurusan haji agar sentiasa di tahap cemerlang dan menjadi contoh kepada negara Islam lain.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Tan Sri Azman Mokhtar, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai TH Datuk Seri Amrin Awaluddin dan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia Datuk Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan.
Seramai 291 bakal jemaah haji akan berlepas ke Tanah Suci menerusi penerbangan Saudia Airlines SV 5633 ke Jeddah pada 4.45 petang hari ini, dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dijangka tiba kira-kira 8.10 malam (waktu Arab Saudi).
Seramai 14,306 jemaah haji dari Malaysia mengerjakan Rukun Islam Kelima itu pada musim haji tahun ini, dengan dibantu 340 petugas TH.
Penerbangan bagi musim haji tahun ini merangkumi 48 penerbangan Malaysia Airlines dan Saudia Airlines bermula pada 4 Jun lepas dan penerbangan akhir dijadualkan pada 2 Julai ini. – BERNAMA