Tiga Kilang Baharu Dibina Di GTP Pekan Dengan Nilai Pelaburan RM162 Juta – MB

PEKAN, 9 Jun – Pembangunan Green Technology Park (GTP) di sini dirancakkan lagi dengan pembinaan tiga kilang baharu oleh syarikat Nextgreen Global Berhad melibatkan nilai pelaburan sebanyak RM162 juta, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata projek tersebut merupakan pembangunan kilang tisu yang dijangka siap pada tahun depan, manakala dua lagi adalah kilang baja dan kilang makanan haiwan yang dijangka siap hujung tahun ini.

“Dengan pembangunan kilang berkenaan ia sekali gus dapat meningkatkan ekonomi Pahang, selain menyediakan peluang pekerjaan untuk penduduk setempat, termasuk kepada masyarakat Orang Asli.

“Selain itu, Nextgreen dan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) sedang membincangkan bagi mengembangkan lagi pembangunan GTP, dengan penambahan keluasan kawasan dari 165.9 hektar( 410 ekar) kepada 1,214 hektar (3,000 ekar),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Kilang Fasa 1B GTP di sini, hari ini yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

Pada majlis itu, Wan Rosdy turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan usaha membangunkan industri pertanian negara bersifat hijau dan mesra alam antara Pengarah Urusan Nextgreen Datuk Lim Thiam Huat dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) Datuk Zamri Yaakob.

Sementara itu, Pengarah Nextgreen Datuk Mohd Yusof Din berkata pembangunan kilang berkenaan merupakan susulan daripada kilang kertas bebas kayu yang dijangka memulakan operasi pada bulan depan di GTP.

Menurutnya, apabila pembinaan kilang tisu di kawasan seluas 16.187 hektar itu siap kelak, ia akan menghasilkan pengeluaran sebanyak 10,000 tan metrik setahun manakala kilang makanan haiwan dan kilang baja masing-masing sebanyak 30,000 tan metrik.

Mohd Yusof berkata, pembinaan kesemua kilang itu sejajar dengan konsep pembangunan sifar sisa buangan di GTP yang juga menjadi asas kepada pertumbuhan ekonomi kitaran berdasarkan pengeluaran produk dan kitar semula sisa daripada kilang untuk dijadikan produk yang boleh dipasarkan semula seperti baja organik dan makanan haiwan.

Selain itu, katanya, sudah menjadi polisi syarikat berkenaan untuk memperuntukkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan dengan pertambahan kilang, ia dijangka dapat menyediakan 200 lagi peluang pekerjaan berbanding 250 pekerja sedia ada.

“Bagi merealisasikan polisi ini, kita telah bekerjasama dengan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan, untuk pengambilan pelajar semester akhir bagi menjalani latihan industri mereka di GTP dan seterusnya diserapkan sebagai pekerja disini,” katanya. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.