Lebih 20,000 Meriahkan Majlis Aidilfitri Menteri Besar Dan Kerajaan Perlis

KANGAR, 9 Mei – Majlis Aidilfitri Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Perlis di Dewan 2020 di sini, hari ini berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 20,000 pengunjung serta tetamu dari seluruh negeri ini.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat ke majlis itu dengan disambut Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man dan isteri Datin Seri Noraswana Omar serta barisan exco kerajaan negeri.

Turut berangkat Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Azlan berkata majlis tersebut dianjurkan bagi membolehkan seluruh masyarakat negeri ini bersama meraikan sambutan Aidilfitri sambil menikmati juadah yang disajikan.

“Kira-kira 25 agensi dan jabatan kerajaan negeri terlibat dalam majlis kali ini dengan lebih 40 jenis juadah seperti sate, nasi kandar, rusa bakar dan kambing bakar disajikan buat tetamu yang hadir.

“Kehadiran orang ramai agak memberangsangkan mungkin disebabkan sudah dua tahun rakyat tidak dapat berkumpul meraikan Adilfitri akibat penularan COVID-19,” katanya selepas meninjau perjalanan majlis tersebut di sini, hari ini. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit