Negara Perlukan Strategi Jangka Panjang Bagi Kemapanan Bekalan Unggas Nasional

SEMENJAK beberapa hari lepas, Utusan Malaysia telah mengetengahkan isu bekalan ayam secara meluas.

Isu kenaikan harga ayam, walaupun bukan isu yang baru tetapi sangat membimbangkan. Sekiranya masalah ini berlanjutan, ia boleh menjadi ancaman kepada keselamatan dan kecukupan makanan nasional.

Namun penyelesaian yang dikemukakan Kerajaan setakat ini nampaknya tidak tuntas, apalagi lestari.

Ayam merupakan sumber protein tinggi yang sangat penting dan antara yang termurah untuk keperluan makanan yang berkhasiat.

Purata isi rumah di Malaysia memakan 50 kilogram (kg) daging ayam setiap tahun, menjadikan ia antara negara pengguna ayam tertinggi dunia.

Pengeluaran lesen import (AP) untuk import ayam sejuk beku bagi menampung keperluan pengguna adalah solusi sementara dan tidak bersifat lestari.

Negara memerlukan strategi jangka masa panjang untuk kemapanan bekalan unggas nasional.

Justeru, satu dasar mapan untuk penternakan, pembekalan, kawal selia dan pembangunan industri unggas negara sangat diperlukan.

Industri ini telah terlalu lama dibiarkan tanpa lonjakan inovasi, teknologi dan kebolehsaingan.

Malaysia juga memerlukan kerangka regulasi yang lebih telus dan kemas, dengan memastikan keselarasan kawal selia yang lebih teratur kerana ia melibatkan pelbagai kementerian dan agensi.

Inovasi makanan ayam juga merupakan salah satu pendekatan yang harus diberi tumpuan. Penyelidikan dan pembangunan dapat membantu inisiatif tersebut, tetapi ia mestilah disokong kukuh oleh pemain industri.

Pertimbangkan juga pendekatan seperti rebat cukai, insentif pinjaman dengan faedah rendah dan transisi kepada industri berasaskan ayam dan bukan sekadar sektor penternakan ayam.

Saya sangat bersetuju dengan cadangan penubuhan Lembaga Industri Unggas Nasional untuk menerajui dan memajukan industri berasaskan ayam, itik dan unggas lain, serupa dengan fungsi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia.

Lembaga seumpama ini akhirnya akan mewujudkan satu ekosistem industri unggas yang ‘regulated’ dengan dasar yang jelas dan berorientasikan ketelusan, lantas mampu memajukan industri unggas, bukan sekadar penternakan dan pembekalan ayam.

Tuntasnya, negara kita sangat memerlukan sektor makanan dan bekalan protein yang berdaya saing bagi memastikan harga adalah berpatutan dan sesuai kemampuan rakyat. – UMNO ONLINE

Dato Seri Utama Mohamad bin Haji Hasan
Timbalan Presiden UMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.