Usah Bermain Tabir Asap

DALAM perbahasan Mesyuarat Khas Parlimen semalam, beberapa Ahli Dewan termasuk Ahli Parlimen Pagoh melontarkan bahawa tidak semua wakil rakyat yang sengaja keluar mahupun dipecat dari parti harus dilucutkan jawatan sebagai Yang Berhormat. Hujahnya, mungkin ada sesuatu senario atau ketika dimana alasan untuk beralih parti ialah berlandaskan prinsip atau situasi khas tertentu.

Semua pertimbangan ini boleh diperincikan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas yang diwakili Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang, dalam menentukan apa definisi lompat yang hendak ‘dihukum’ dan apa pengecualian-pengecualian yang hendak dipertimbangkan jika ada.

Namun, kita perlu tanya apa sebab RUU Anti Lompat Parti ini menjadi topik hangat sekarang? Kenapa yang terkedepan memperjuangkan ‘pengecualian’ ini ialah ketua parti yang selama 4 tahun cuba membina pengaruh dan kuasa melalui lompatan?

Sukar mengelak perasaan bahawa motif apa yang disampaikan di Parlimen semalam hanyalah bersifat tabir asap atau ‘smokescreen’ untuk mengalih perhatian daripada isu sebenar yang berleluasa penggal ini.

Rata-rata YB-YB yang melompat setelah PRU14 bukannya lompat atas semangat prinsip. Mustahil sebelum 9 Mei 2018 mereka percaya perjuangan parti, tapi 10 Mei 2018 terus was-was.

Bukan juga mereka dipecat dan dipaksa pilih rumah lain.

Tetapi semata-mata tak sanggup jadi YB pembangkang.

Begitu ramai yang menang atas tiket rumah asal, dimenangkan oleh jentera dalam rumah asal – tetapi disebabkan selepas PRU14 rumah asal mereka bersifat pembangkang, mereka tidak sanggup kekal bersama dengan pemimpin dan ahli membina semula rumah itu. Atau ‘pujukan’ tertentu terlalu menarik buat mereka sehingga sanggup melompat beramai-ramai dan lebih teruk, menarik sebahagian kecil penyokong bersama.

Istilah yang sesuai menggambarkan adegan-adegan lompat penggal ini bukan “berprinsip”, tetapi “khianat”.

Fenomena inilah yang menjadi punca orang ramai bercakap tentang anti lompat parti. Fenomena ini jugalah yang menyebabkan RUU Anti Lompat Parti ini hendak dibentangkan pun.

Natijahnya, kekhuatiran yang diutarakan dalam perbahasan di Parlimen semalam, saya anggap diluar konteks sebenar yang telah berlaku beberapa tahun kebelakangan.

Supaya tidak salah faham, ya, diakui dan diterima, kita hendak menjamin suatu undang-undang dan pindaan Perlembagaan yang adil dan bertahan untuk suatu ketika yang lama. Suatu perundangan yang mengambilkira semua sudut melangkaui konteks hari ini.

Maka eloklah diperhalusi di peringkat Jawatankuasa Khas. Kemudian bawalah ke Dewan kelak dengan draf lengkap yang boleh dijayakan bersama.

Tetapi sambil itu sedang berlaku, usahlah pihak yang menjadi pemain utama dalam adegan lompat dalam penggal Parlimen ini cuba mengeliru atau menutup cerita sebenar kenapa RUU Anti Lompat Parti menjadi isu sekarang. Sedangkan sebelum ini selama 60 lebih tahun isu ini tidak berbangkit besar pun.

Isu lompat berleluasa penggal ini, bukan sebelumnya. Bukan sebab “katak berprinsip”. Bukan sebab parti asal mereka lari dari landasan. Bukan sebab dipecat. Bukan sebab kepentingan rakyat atau moral. Tetapi sebab kepentingan peribadi.

Itu yang hendak dibendung. Itu punca RUU ini dibentang.

SHAHRIL HAMDAN
Ketua Penerangan UMNO

******************************

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.