Keadaan, Landskap Politik Berubah, Mesti Disesuaikan Hadapi Realiti Politik Semasa


KUALA LUMPUR, 16 Sept – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata keadaan dan landskap politik telah berubah maka kita mesti memahami perubahan yang berlaku ini terutama kesan selepas PRU-14 lalu.

Menurut beliau jika kita tidak menyesuaikan diri dengan perubahan ini, bimbang ia akan menyukarkan kita menghadapi keadaan yang semakin mencabar.

“Kerana itu saya yakin UMNO memahami dan menyedari semua ini. Justeru, asalkan prinsip dan falsafah parti kekal tidak berubah, saya percaya pimpinan dan ahli UMNO dipelbagai peringkat akan menyokong sebarang usaha demi masa depan UMNO. Ini termasuklah berkaitan perkembangan politik UMNO dan PAS.

“Kerana itu bila mengikuti, perkembangan terbaru hubungan UMNO dengan PAS, ia suatu yang baik bagi masa depan kedua dua parti juga rakan dalam Barisan Nasional. Sudah tentu juga rakyat Malaysia. Hubungan ini, pasti akan menjadi yang lebih baik daripada Kerajaan PH yang ketika ini “bercelaru” memerintah Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perjumpaan bersama Ketua Penerangan UMNO Kelantan empat peringkat di sini, Sabtu.

Tegas Shamsul bagi kebanyakan rakyat yang mengikuti perkembangan politik UMNO dan PAS, pasti tahu sejarah hubungan kedua parti tersebut dan ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan.

“Jadi saya harap ianya disambut baik. Walau masih awal, saya berkeyakinan bahawa hubungan PAS dan UMNO boleh pergi lebih jauh daripada sekarang. UMNO dan PAS serta rakan BN yang lain, telah melakukan yang baik sebagai pembangkang di parlimen.

“Kerjasama ini terus memasuki fasa baru apabila kehadiran Presiden UMNO di pentas PAS semasa PRK Seri Setia. Kemudian bersama dengan pimpinan UMNO ke Muktamar PAS minggu ini. Ini suatu perkembangan yang amat baik.

“Walaupun demikian, diakui bahawa oleh kerana hubungan ini masih baru pastinya banyak lagi perlu dilakukan oleh kedua dua parti terutama memberikan pemahaman dan penjelasan kepada pimpinan dan ahli diakar umbi. Kemudian saya yakin pemimpin utama UMNO pasti akan memberikan gambaran lebih jelas mengenai kedudukan PAS dan UMNO sampai masanya nanti,” katanya.

Beliau seterusnya mengharapkan agar semua Ketua Penerangan UMNO di negeri, dan bahagian segera mengukuhkan organisasi masing masing, dan memberikan tumpuan kepada penggunaan media baru dalam menyampaikan penerangan kepada rakyat.

Tambahnya keadaan sudah berubah dan pendekatan yang sesuai dengan perubahan ini mesti dilakukan.

“Jika kita masih menggunakan cara dan kaedah tradisi, UMNO akan menjadi tidak popular terutama dikalangam generasi muda. Saya bimbang kita hanya popular dikalangan kita sahaja.

“Jadi semua yang dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO walau diperingkat manapun, ia merupakan suatu jawatan penting pada parti. Kita mesti lakukan amanah ini dengan bersungguh apatah lagi dalam kedudukan kita bukan lagi sebuah kerajaan.

“Saya minta semua Ketua Penerangan di setiap bahagian mesti lakukan usaha mulihkan imej parti dimata rakyat. Gerakerja penerangan mesti dimulakan apatah lagi rakyat hari ini kecewa dengan Kerajaan PH,” katanya.- MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit