UMNO: Isu Pelaksanaan PRU-15 Dijangka Disentuh Dalam Ucapan Presiden

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Polemik pelantikan Menteri Besar Johor susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) dijangka antara yang akan disentuh dalam ucapan dasar Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Persidangan Agung UMNO 2021 esok.

Beliau turut memberi bayangan bahawa isu desakan dan bantahan akar umbi serta pemimpin parti itu untuk mempercepatkan pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), juga akan turut dibangkitkan.

“Kedua-dua isu itu saya akan jawab esok,” katanya ringkas dalam sidang media selepas meninjau persidangan Pemuda, Puteri dan Wanita UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu mengulas mengenai persidangan sayap parti yang bermula hari ini, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata ia bukti kesiapsiagaan perwakilan, mewakili bahagian masing-masing dalam melontarkan isu semasa dan nasional dengan semangat yang cukup tinggi.

Beliau turut mengingatkan parti supaya terus menggerakkan jentera dan ketiga-tiga sayap terhadap segala kemungkinan ke arah PRU-15. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.