Pemuda, Puteri UMNO Senada PRU Dahulu Sebelum Pemilihan Parti
KUALA LUMPUR, 17 Mac – Pergerakan Pemuda UMNO dan Puteri UMNO hari ini senada supaya Pilihan Raya Umum (PRU) perlu diadakan terlebih dahulu sebelum pemilihan parti dilaksanakan.
Ketua Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengusulkan agar perlembagaan parti dipinda supaya pemilihan parti hanya diadakan selepas PRU.
“Pemuda ingin mengusulkan kepada pimpinan tertinggi dan Perhimpunan Agung UMNO agar membuat pindaan perlembagaan parti seperti rakan komponen kita MCA supaya pemilihan parti diadakan hanya selepas setiap kali PRU.
“Ini bagi mengelakkan sebarang usaha untuk memporak-perandakan, melemahkan kesepaduan dan kekuatan parti,” katanya dalam ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO 2021 di Dewan Tun Abdul Razak 4, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini pagi tadi.
Katanya, jika diadakan pemilihan sebelum PRU, ramai kepimpinan dan jentera yang akan bertukar ganti akibat batasan umur serta kesukaran untuk membentuk jentera yang berpengalaman.
“Jangan terpengaruh dengan usaha-usaha memaksa disegerakan pemilihan parti. Jika ada pemilihan sebelum pilihan raya, berapa ramai kepimpinan pemuda di hadapan saya ini yang akan bertukar ganti? Bukan kerana ditolak, tetapi kerana batasan umur yang tidak mengizinkan lagi.
“Dengan masa yang pendek, apakah kita mampu membentuk semula barisan baru yang berpengalaman dan kuat untuk menghadapi peperangan?” soalnya.
Begitu juga bagi Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia Datuk Zahida Zarik Khan yang mendesak Perhimpunan Agung Luar Biasa (EGM) diadakan semasa Perhimpunan Agung kali ini untuk meminda perlembagaan bagi memastikan pemilihan dalam parti diadakan hanya selepas PRU bagi sesuatu penggal.
“Tumpuan kita selepas ini PRU ke 15. Untuk membolehkan kita menguasai kerajaan dan berbakti kembali kepada rakyat sebagaimana yang pernah kita buat dulu. Setiap dari kita wajib menumpukan persiapan kepada PRU ke 15. Sebarang usaha memesongkan tumpuan ini harus dihentikan, ‘make a full stop’.
“Ini termasuk sebarang gerakan untuk mengadakan pemilihan parti lebih awal dari PRU. Kita kenal siapa yang bertungkus-lumus dalam setiap Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk mempastikan kemenangan parti. Baik di Sabah, di Melaka dan di Johor. Siapa pula yang hanya akan ligat berpusing berkempen hanya untuk jawatan dalam parti tetapi hanya acuh tak acuh apabila parti berhadapan dengan lawan.
“Ada yang sangat berkira bila turun membantu parti, tetapi menunjukkan kemewahan bila berkempen untuk diri sendiri. Buatlah PRU dulu, kita tengok siapa yang paling banyak menyumbang untuk kemenangan parti, kita akan angkat mereka setinggi-tingginya dalam pemilihan parti kelak,” katanya dalam ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung Puteri UMNO Malaysia 2021 di Dewan Tun Dr Ismail / Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini hari ini.
Kerana itu Zahida berpendapat buat masa sekarang tenaga dan fokus seharusnya hanya untuk PRU.
“Seperti kestabilan negara, kestabilan parti adalah pra syarat sebelum melangkah ke pertempuran yang lebih besar,” tegasnya. – UMNO ONLINE