Ringgit Mata Wang Terbaik Dunia : Guan Eng Jangan Cuba Buat Muslihat Tipu Rakyat


KUALA LUMPUR, 14 Sept – Peliknya, apabila Menteri Kewangan Lim Guan Eng Eng mengeluarkan satu kenyataan bersifat muslihat yang cuba menipu rakyat, kata Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Shahril Sufian Hamdan.

Katanya, sudahlah niat buruk itu jelas ada, muslihatnya pun terlalu cetek sehingga menimbulkan tanda tanya adakah Lim Guan Eng juga menganggap rakyat Malaysia ini terlalu mudah diperbodohkan?

Guan Eng mengeluarkan kenyataan sebagai respon kepada penulisan mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyindir Pakatan Harapan (PH) mengenai situasi nilai matawang negara.

“Lim Guan Eng mendakwa ringgit adalah antara mata wang yang terbaik di dunia. Katanya nilai ringgit Malaysia hanya susut 2.2 peratus sepanjang tahun ini bermula Januari. Persoalannya siapa yang menjadi kerajaan dari Januari hingga Mei 2018?”

Bidasnya dalam satu kenyataan media, tindakan Lim Guan Eng membuat perbandingan menggunakan nilai ringgit pada awal tahun 2018 bukan sahaja tidak tepat malah ianya adalah jelas bertujuan mengaburi mata rakyat agar tidak menampakkan kegagalan kerajaan PH mengemudi kedudukan kewangan negara ke arah yang lebih baik.

“Lim Guan Eng sepatutnya hanya mengambilkira kedudukan nilai ringgit sejak PH mengambil alih tampuk pentadbiran negara iaitu pada paras RM3.95 pada 8 Mei iaitu sehari sebelum kemenangan PH dan bukanlah nilai pada awal Januari iaitu RM4.03.

“Jika dikira nilai semenjak kemenangan PH, ringgit Malaysia telah susut sebanyak 4.7 peratus berbanding nilai pada hari ini iaitu RM4.14. Trend penurunan ini juga adalah sangat ketara berbanding sebelum PRU-14 yang mana pada ketika itu nilai ringgit meningkat dari RM4.03 pada Januari kepada RM3.95 sehari sebelum PRU-14.

“Bagi memastikan nilai ringgit tidak terus merosot, kerajaan PH juga telah terpaksa mencairkan rizab antarabangsa sebanyak lebih USD5 bilion semenjak kemenangan mereka. Ini bermakna, nilai ringgit sudah tentu akan merosot jauh lebih teruk jika keputusan mencairkan rizab antarabangsa ini tidak dibuat.”

Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam tempoh Januari sehingga April 2018 bukan sahaja telah menaikkan nilai ringgit malah rizab antarabangsa sepanjang tempoh tersebut juga telah meningkatkan sebanyak hampir USD6 bilion.

“Namun disebabkan kegagalan PH mengurus kedudukan kewangan negara dengan baik, USD5 bilion telah terpaksa digunakan bagi menampung kelemahan mereka.

“Penulisan Datuk Seri Najib ada asasnya kerana PH sebelum menjadi kerajaan sering memomokkan rakyat bahawa mereka mampu menaikkan nilai ringgit jika mereka mengalahkan BN dan Datuk Seri Najib, tetapi selepas menjadi kerajaan, perkara sebaliknya pula yang berlaku.”

Jelasnya, nilai ringgit terus jatuh dari sehari ke sehari dan ituu sahaja yang ditanya atau disindir.

“Siapa sangka Lim Guan Eng boleh menjadi tak keruan sehingga menulis kenyataan yang tersimpang jauh dari taraf seorang bergelar Menteri Kewangan?

“Menteri Kewangan seharusnya menerima teguran dan memikirkan bagaimana nilai ringgit mampu diperkukuh.

“Namun melihatkan beberapa keputusan u-turn serta flip-flop kerajaan PH, di samping sikap angkuh Menteri, saya khuatir ringgit Malaysia akan terus berada dalam keadaan menyusut seperti mana jangkaan yang dibuat oleh pakar ekonomi dunia,” tegasnya lagi yang juga Ketua Pemuda UMNO Kuala Langat. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit