Berbahaslah… Bawalah Cadangan Untuk Parti, Kesejahteraan Rakyat

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berharap para pembahas pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang akan bermula hari ini dapat membawa cadangan dan lontaran pandangan untuk dikupas bersama-sama.

Menurut beliau banyak perkara boleh disentuh melibatkan kepentingan rakyat antaranya soal pengangguran, pendapatan, ekonomi, pelajaran dan sebagainya lagi.

“Kita alu-alukan pembahas yang mewakili negeri masing-masing. Berbahaslah…bawalah pandangan, bawalah segala cadangan agar ianya dapat dikumpulkan dan dapat dikupas bersama-sama demi untuk kita memberikan satu nafas baru kepada UMNO dan juga kepada rakyat seluruhnya.

“Apakah UMNO akan dapat memberikan satu tekad dan azam baru serta tawaran baru kepada rakyat Malaysia supaya Malaysia ini akan terus dapat dibangunkan dan kesejahteraan rakyat diberi keutamaan.

“Tidak ada parti lain yang akan dapat memberikan kesejahteraan, kestabilan melainkan UMNO/Barisan Nasional (BN),” kata Timbalan Pengerusi BN itu kepada UMNO Online.

Mohamad juga menyeru setiap pembahas memanfaatkan ruang dengan membahas dengan baik serta mengetengahkan isu-isu yang menyentuh kepentingan rakyat.

“Kepada pembahas berbahaslah dengan baik dan bincanglah dengan baik. Banyak isu-isu yang perlu diketengahkan yang perlu dibincangkan. Isu ekonomi, isu sosial, pengangguran, pelajaran, pendapatan dan lain-lain.

“Banyak isu yang perlu kita kupas walaupun kita membahas ucapan dasar presiden tetapi ianya tidak pula menegah kita daripada untuk mengupas iau ekononi, pelajaran, sosial, agama dan lain-lain,” katanya.

Mohamad seterusnya menambah hari ini keluarga UMNO sekali lagi berkampung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur dalam usaha menjalankan tanggungjawab iaitu acara tahunan parti saban tahun.

“Kepada semua perwakilan selamat datang ke Ibu Pejabat UMNO dan kita alu-alukan kedatangan saudara-saudari sekalian sebagai keluarga UMNO yang besar.

“Maka marilah kita sama-sama berbincang dan memberikan pandangan-pandangan terutama dalam usaha memastikan parti akan terus berjalan bergerak ke depan untuk kita sama-sama mengharungi pula satu lagi perkara besar yang perlu kita hadapi iaitu Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya.

Seterusnya, Mohamad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan bersyukur atas kemenangan di dalam siri pilihan raya kecil dan juga pilihan raya negeri yang membuktikan parti kembali bangkit.

“Alhamdulillah kita telah mengharungi pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri, tahniah kepada semua…tahniah kepada Melaka memperolehi kemenangan yang begitu besar melebihi 2/3.

“Alhamdulillah syukur kehadrat Allah SWT. Dan dua tiga hari yang lalu kita juga telah mencapai satu lagi kemenangan di Johor. Kemenangan yang begitu manis begitu besar ertinya kepada kita BN dan UMNO hasil daripada azam kita untuk bangkit semula,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.