UMNO Bahas Cadang Pembaikan Isu Rakyat, Perjuangan Parti – Mahdzir
KUALA LUMPUR, 16 Mac – Para pembahas pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 perlu memanfaatkan peluang perbahasan dengan mengemukakan cadangan bernas berkaitan isu rakyat, serta perjuangan parti dan bersifat terbuka yang pastinya menarik perhatian ramai pihak.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata perbahasan bukan saja isu berkait politik, sebab isu semasa yang rakyat mahu melihat ialah adalah selain daripada isu politik, isu pemulihan ekonomi, yang mahu dilakukan kerajaan yang dipimpin oleh UMNO di peringkat Persekutuan.
“Rakyat mahukan pemulihan ekonomi lebih cepat dan aktiviti orang cari makan, pendapatan boleh digerakkan. Saya ingat pembahas boleh memberi cadangan yang baik kepada kerajaan, selain bercakap pasal moratorium, mikro kredit, apa benda lagi yang boleh (kerajaan laksanakan),” katanya.
Mahdzir yang juga Pengerusi Jawatankuasa Usul berkata demikian ketika ditemui selepas taklimat bersama wakil pembahas negeri, yang turut dihadiri Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dan Pengerusi Tetap UMNO Tan Sri Badruddin Amiruldin.
Ditanya sama ada terdapat usul berkaitan menyokong kepimpinan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri serta hala tuju Muafakat Nasional (MN) yang dirintis bersama PAS, Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata usul berkenaan ada diusulkan oleh UMNO bahagian.
“Ada macam-macam usul… (ada) usul yang sokong Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, kemudian usul berkaitan pilihan raya (bilakah) masa sesuai, serta usul berkait dengan kekuatan UMNO (bergerak) secara solo tanpa berpakat dengan org lain. (Hala tuju MN) ada tapi very mild,” katanya.
Nada sama turut disuarakan Ahmad yang menyatakan bahawa perbahasan mestilah merangkumi isu berkaitan ekonomi, politik, agama, pendidikan dan antarabangsa.
“Jadi jangan hanya tumpu pada isu politik (sahaja) oleh kerana kita sebahagian dari pemerintahan dan Perdana Menteri dari UMNO, bererti cadangan-cadangan yang kita inginkan daripada pembahas sebab cadangan itu akan dicatat oleh pihak kerajaan.
“Jika dahulu bila kita bukan kerajaan, kita bagi cadangan orang tak terima…sekarang ini dalam perhimpunan agung, tentu ada wakil-wakil daripada agensi kerajaan, kementerian yang hadir mendengar ucapan, dan oleh itu kita nak cadangan bernas apa yang patut dibuat oleh kerajaan” katanya.
Seramai 18 jurucakap meliputi wakil daripada negeri, Wanita, Pemuda, Puteri, siswa berbahas pada perhimpunan itu dengan menampilkan jurucakap daripada veteran UMNO dijemput sebagai pembahas buat julung kalinya.
Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang berlangsung empat hari bermula esok, akan dimulakan dengan perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan di Dewan Merdeka esok, disusuli dengan perhimpunan ketiga-tiga sayap itu pada Khamis.
Perhimpunan kemudian diteruskan dengan ucapan dasar dan perasmian oleh Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat, dan diteruskan hingga Sabtu sebelum menutup tirai dengan penggulungan pemimpin parti. – BERNAMA