Jadikanlah Perhimpunan Agung UMNO Paksi Untuk Parti Terus Melangkah Ke Depan

KUALA LUMPUR, 15 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berharap Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang akan bermula esok menjadi platform kepada para perwakilan serta seluruh ahli parti menggarap apa yang dinukilkan oleh pucuk pimpinan dalam usaha melakar kejayaan masa depan.

Menurut beliau kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh parti mutakhir kini bukanlah satu alasan untuk berbangga apatah lagi berpeluk tubuh kerana onak dan ranjau masih berada di hadapan.

“Jadi sama-sama kita ambil apa yang dilontarkan dan sama-sama kita hayati apakah amanat yang akan disampaikan oleh pimpinan demi kejayaan kita bersama.

“Begitu jugalah dalam konteks Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri yang tentunya juga masing-masing melihat cabaran yang ada untuk sama-sama membantu parti menggarap kejayaan,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Sharkar yang juga Ketua UMNO bahagian Temerloh seterusnya menambah memang saban tahun Perhimpunan Agung UMNO akan menjadi tumpuan bukan sahaja di kalangan ahli serta pendokong malah mereka yang berada di luar parti.

“Inilah uniknya UMNO… inilah istimewanya UMNO… sebuah parti yang telah berjasa kepada rakyat dan negara. Yang pasti UMNO akan terus membawa suara rakyat.

“Pejuangan untuk orang Melayu tanpa meninggalkan kepentingan kaum-kaum lain adalah paksi kepada apa yang kita bawa sekian lama.

“Insya-Allah semoga perjuangan UMNO terus melangkah ke depan dengan jayanya. Selamat bersidang kepada semua perwakilan Perhimpunan Agung UMNO 2021,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.