Abd Mutalip Selesai Tunai Tanggungjawab, Semoga Beroleh Kemenangan

SIMPANG RENGGAM, 12 Mac – Proses pengundian di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang berlangsung lancar hari ini dengan para pengundi mula beratur sebaik pusat-pusat pengundian dibuka.

Bagi calon Barisan Nasional (BN) di DUN Layang-Layang, Abd Mutalip Abd Rahim selamat menunaikan tanggungjawab pada jam 8.50 pagi di saluran satu bertempat di Sekolah Kebangsaan Felda Layang-Layang, di sini.
“Syukur Alhamdulillah, hari ini proses pengundian berjalan dengan baik dan mudah-mudahan cuaca yang baik hingga ke tamat waktu mengundi agar dapat digunakan oleh pengundi-pengundi untuk keluar mengundi. 

“Kita tahu mungkin ada yang sedang berkerja ataupun ada tugas-tugas lain. Sekiranya cuaca baik agar pengundi dapat manfaatkan dan tidak terganggu proses pengundian pada pagi ini,” katanya.

Apabila ditanya mengenai prosedur operasi standard (SOP) dalam norma baharu semasa waktu pengundian, beliau bersyukur semua berjalan lancar.

“Alhamdulillah… cuma kali ini agak berlainan dan pertama kali khususnya di negeri Johor melalui satu proses pengundian yang mana telah ditetapkan SOP oleh pihak keselamatan Negara dan juga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), ” ujarnya.

Seramai 239 calon bertanding merebut 56 kerusi pada PRN kali ini, dengan hari pengundian PRN Johor ditetapkan Sabtu ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari ini sebagai hari pengundian bagi PRN Johor manakala hari mengundi awal telah berlangsung pada 8 Mac yang lalu.

Lebih 22,000 anggota pasukan keselamatan terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan masing-masing telah mengundi pada hari tersebut. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.