‘Izinkan Anak JB, Berkhidmat Untuk Orang JB’, DUN Larkin Berpotensi Besar – Hairi

JOHOR BAHRU, 8 Mac – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin Mohd Hairi Mad Shah memberi komitmen akan meneruskan agenda pembangunan rakyat di kawasan tersebut yang dilihat amat berpotensi besar ekoran ia berada di dalam kawasan bandaraya Johor Bahru (JB).

Selain berkempen secara konvensional, Hairi juga menggunakan platform media sosial antaranya Facebook, Instagram dan Twitter untuk menampilkan tawaran-tawarannya khusus untuk masyarakat DUN Larkin.

Tampil dengan slogan ‘Izinkan Anak JB, Berkhidmat Untuk Orang JB’, Hairi berkata antara ‘Ikhtiar JB Kita’ yang ingin beliau bawa adalah berkaitan Jalinan Ekonomi (J), iaitu memperkasakan Pasar Kampung Melayu sebagai sebuah Hub Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

“Saya juga akan menjenamakan Bandar Baru UDA sebagai sebuah Hub Fesyen Selatan yang memfokuskan kepada perniagaan khas untuk penduduk bumiputera.

“Ini mampu membantu penduduk di DUN Larkin untuk mendapat pekerjaan dan memperoleh pendapatan yang lebih tinggi dan kukuh bagi menjalani kehidupan seharian mereka,” katanya di Facebook.

Seterusnya, Hairi memberi komitmen berhubung Tanah (T), iaitu penempatan semula dan baharu bakal diwujudkan untuk memperkasakan lagi Lingkaran Melayu di dalam bandar terutama di Larkin.

“Tanah industri yang telah luput pajakannya juga akan saya perjuangkan menjadi perumahan mampu milik khas untuk anak muda di Johor Bahru.

“Ini adalah penting supaya anak-anak muda dan pewaris kita di JB ini terus menetap di bandar JB ini. Tidak perlu mereka keluar dari bandar hanya untuk mencari kediaman yang selesa dan kondusif untuk membina keluarga mereka. Insya-Allah akan saya perjuangkan,” tambah Ketua Pemuda UMNO dan BN Negeri Johor itu lagi.

Selain itu, Hairi yang juga pemegang ijazah sarjana dalam bidang pengurusan perniagaan Universti Malaysia Pahang (UMP) turut menawarkan agenda berkaitan belia, kesihatan dan keselamatan, institusi pendidikan dan agama.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini, Hairi, 38, anak jati Larkin akan ditentang oleh lima lagi calon dari Pakatan Harapan (PH) diwakili PKR, Perikatan Nasional (PN), Pejuang, Muda dan Bebas. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.