Gerak Kerja Kuat Dan Dinamik, BN Akan Rampas DUN Paloh

PALOH, 9 Mac – Berbaki tiga hari lagi untuk kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Barisan Nasional (BN) akan terus mempergiatkan kempen bagi merampas kembali Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh, menurut Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Senator Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad.

Katanya, kemenangan BN di kerusi DUN Paloh dalam PRN Johor ini, akan menjadi pemangkin kepada seluruh negeri Johor.
“Saya melihat satu dinamik yang semakin kuat dan hebat dari minggu pertama hingga kini bahawa bendera BN sudah menguasai di kawasan ini. Ianya memberikan satu gambaran bahawa gelombang BN dari Tanjung Piai semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) lalu serta perubahan menolak Pakatan Harapan (PH) akan dibawa ke negeri Johor termasuk juga di Paloh ini.

“Saya cukup yakin dengan kepimpinan UMNO Bahagian Sembrong, BN Sembrong dan MCA Sembrong serta keseluruhannya serta kepimpinan BN negeri Johor maka BN dapat rampas Paloh ini. Kita tidak boleh menolak hakikat macamana keadaan pun Paloh harus dirampas semula,,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Turut hadir calon BN bagi DUN Paloh, Lee Ting Han.

Untuk rekod, Ting Han akan berdepan penyandang kerusi, Sheikh Umar Bagharib daripada PH, selain V Selvendran daripada Perikatan Nasional (PN) dan Aminuddin Johari yang mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Sheikh Umar yang juga Naib Pengerusi Dap Johor menang dengan majoriti 783 undi.

DUN Paloh mempunyai komposisi pengundi terdiri 47 peratus Melayu, Cina (37 peratus), India (15 peratus) dan satu peratus lain-lain kaum.

Sementara itu beliau turut menyantuni masyarakat di DUN Paloh kerana itu adalah prinsip BN sejak dari dahulu lagi.

“Saya menyantuni pengundi-pengundi yang berumur, uzur, orang kurang upaya (OKU) dan sebagainya di sini dalam program ziarah kasih. Apa yang penting ingin menyampaikan dan memahami hasrat BN walaupun keadaan mereka uzur dan tetap dibantu.

“Itu adalah prinsip BN dari dulu sehingga sekarang dan tidak akan meninggalkan sesiapa saja tanpa mengira bangsa, keturunan, agama dan keadaan mereka daripada bayi sehingga orang dewasa yang uzur. Itulah ziarah kasih yang BN lakukan.

“Saya turut dibantu oleh kementerian-kementerian yang ada bersama serta membawa pasukan perubatan dari (Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan membuat pemeriksaan perubatan kepada masyarakat di DUN Paloh ini serta sekaligus membantu apa yang perlu dibantu,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.