Presiden UIA : Dr Maszlee Terus Langgar Ikrar Dan Janji


KUALA LUMPUR, 6 Sept – Pelantikan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIA) merupakan satu lagi tindakan melanggar ikrar dan janji dalam kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH), kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Katanya, ia bukan satu kesalahan untuk melantik Menteri Pendidikan atau sesiapa sahaja sebagai Presiden UIA malam dalam sejarah penubuhan universiti terbabit, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pernah menjadi Presiden ketika mereka menjadi Menteri Pendidkan.

“Cuma PH naik dengan pelbagai janji termasuk pembaharuan dalam bidang akademik. Jika tidak silap saya, Dr Maszlee dengan lantang dahulu berjanji untuk menghapuskan amalan orang politik dan bekas pegawai kanan kerajaan menjadi sebahagian daripada organisasi universiti.

“Soalnya dimana janji dan ikrar membebaskan universiti dari orang politik?” tegasnya menerusi kenyataan yang disisrkan dalam laman facebooknya.

Katanya, walaupun Dr Maszlee bekas pendidik, beliau hari ini adalah orang politik yang seharusnya termasuk dalam label yang beliau mahu singkirkan dari persekitaran universiti.

“Mudah kita membuat pelbagai janji ketika menjadi pembangkang termasuklah mahu menghapuskan tol sebaik menang namun hakikatnya bukan mudah menunaikan janji.

“Tidak salah untuk Dr Maszlee terus memegang jawatan sebagai Presiden UIA, namun akuilah bahawa dasar Barisan Nasional (BN) melantik mereka yang berpengaruh sebagai Presiden UIA sebelum ini adalah betul dan baik kepada universiti tersebut,” tegasnya lagi. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit