‘Poster Boy’… Antara BN, PN Dan PH: Siapa Sebenarnya Yang Hilang – Isham
KUALA LUMPUR, 8 Feb – Persoalan mengenai ‘poster boy’ Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sepertimana yang dibangkitkan oleh Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Wan Saiful Wan Jan sebelum ini dilihat ‘memakan diri’ apabila perkara berkenaan sebenarnya menghantui parti berkenaan.
Ketua Penerangan BN Selangor, Datuk Isham Jalil berkata pucuk pimpinan parti bukan sahaja telah meletakkan kepimpinan sedia ada iaitu Datuk Ir Hasni Mohamad sebagai calon Menteri Besar sekiranya BN diberikan mandat namun Perikatan Nasional (PN) yang masih terkial-kial untuk mencari sipakah calon mereka.
Menurut beliau BN adalah sebuah parti yang mempunyai akar umbi dan ianya bergerak berasaskan kepada sokongan daripada akar umbi, maka soal tersebut bukanlah satu perkara yang rumit berbanding PPBM yang terarah kepada individu.
“‘Poster boy’ adalah orang yang kita mahu tonjolkan dalam kempen PRN dan fokus kempen kepada orang tersebut. Macam kempen di Melaka ‘poster boy’ PN kita tengok Tan Sri Muhyiddin apabila merata-rata gambarnya dinaikkan. Sebenarnya yang buat ‘poster boy’ PN dan PH … kita dalam BN parti akar umbi dan kita pergi pilihan raya sebagai sebuah parti.
“Yang kritikal ‘poster boy’ ini adalah PPBM sebab mereka tidak ada akar umbi. Jadi parti mereka ini bergantung kepada seorang sahaja personaliti. Macam dulu bergantung kepada Tun Dr Mahathir yang ‘poster’ PPBM. Sebab tidak ada akar umbi dan mengharapkan personaliti. Selepas itu di Melaka, ‘poster boy’ di Melaka Tan Sri Muhyidin… sebab itu di Melaka seluruh kempen mereka Tan Sri Muhyiddin… merata poster beliau. Poster calon pun tidak banyak seperti mana poster ‘Abah sayang Melaka’ dan sebagainya.” katanya.
Beliau berkata demikian pada wacana Penerangan UMNO Malaysia (PUMAS) yang membicarakan tajuk ‘Poster Boy Yang Hilang’. Ianya disiarkan menerusi Facebook Live UMNO-Online, di sini malam tadi dengan dihoskan Datuk Dr Azizan Abd Majid.
Isham seterusnya menambah, apa yang menjadi kehairanan adalah lontaran persoalan yang tidak masuk akal apabila mengaitkan Datuk Seri Najib Razak dan juga Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai ‘poster boy’ BN pada PRN Johor.
Ini kerana tegasnya kedua-dua pemimpin berkenaan bukannya mempunyai ‘seat’ untuk bertanding pada PRN berkenaan berbanding Tan Sri Muhyiddin yang sebelum ini merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir dan pemimpin yang berasal daripada Johor.
“Sekarang ini PPBM, ketua penerangannya asyik sibuk tanya siapakah ‘poster boy’ kita padahal ‘poster boy’ kita dah jelas iaitu Datuk Hasni. Ada yang tanya kenapa tidak letak Datuk Seri Najib dan kenapa tidak letak Datuk Zahid. Saya jawab yang pertama kedua-duanya tidak bertanding di Johor… malah tidak ada kerusi pun di Johor.
“Yang ada kerusi di Johor Tan Sri Muhyiddin. Negeri Johor itu negeri Tan Sri Muhyiddin, kenapa pula dia segan-segan nak bertanding di situ dan itu persoalan dia. Dulu di Melaka beliau menjadi ‘poster boy’ dan kali ini beliau tidak mahu bertanding pun di DUN Gambir dan jika mereka tidak meletakkan Muhyiddin sebagai ‘poster boy’… jadi persoalannya banyak kepada PN. Siapakah yang mereka mahu letakkan… dia pergi tanya orang yang tidak bertanding di situ buat apa… persoalan yang perlu mereka jawab ialah siapakah ‘poster boy’ mereka… Muhyiddinkah atau salah seorang ADUN yang bertanding.
“Kalau tidak mahu namakan salah seorang calon yang mahu bertanding kena namakan ketua parti. Ketua parti dalam PN ada tiga… Satu Muhyiddin, Dominic Lau atau Tan Sri Abdul Hadi Awang… jadi kalau Muhyidiin tidak mahu jadi ‘poster boy’ siapakah yang mahu jadi ‘poster boy’. Persoalan yang timbul sekarang ini adalah banyak tertumpu kepada PN, maka mereka tidak payah sibuk-sibuk dengan kita sebenarnya. Kita ini parti akar umbi dan pergi sebagai sebuah parti,” ujarnya lagi.- UMNO Online