Sampai Bila Kerajaan PH Mahu Salahkan BN Untuk Tutup Kegagalan Urus Tadbir Negara?


KUALA LUMPUR, 5 Sept – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Dr Noraini Ahmad mempersoalkan mengapa Pakatan Harapan (PH) cuba memindahkan kesalahan dan kegagalan mereka untuk melaksanakan janji-janji ke atas Barisan Nasional (BN) sebagaimana mereka berani berjanji tapi tidak mampu untuk menunaikannya termasuklah janji potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah seperti yang tercatat di dalam manifesto PRU 14 baru-baru ini.

Bidas beliau, kerajaan PH hari ini terpaksa menggunakan alasan hutang negara yang tinggi ketika pemerintahan BN, yang mana kerajaan hari ini meletakkan kesalahan dan kegagalan mereka untuk melaksanakan janji-janji tersebut kepada BN.

Menurut beliau, apa yang jelas, janji potongan KWSP untuk suri rumah yang merupakan 10 janji di dalam 100 hari itu hanyalah semata-mata satu janji pilihan raya, namun setelah mendapat kuasa pemerintahan, ternyata PH gagal untuk melaksanakan janji tersebut.

“Saya sendiri pernah membangkitkan perkara ini di dalam Dewan Rakyat kerana itu merupakan 10 janji utama yang akan dilaksanakan dalam masa 100 hari pemerintahan PH seperti yang tersebut di dalam manifesto mereka.

“Jawapan yang diberikan kepada saya di dalam Dewan ialah, ia masih di dalam kajian. Jawapan tersebut tidak dapat memuaskan hati saya. Kemudian, kita adakan satu sesi pada 30 Julai yang khusus untuk membincangkan potongan KWSP kepada suri rumah ke dalam kamar khas atau pun special chamber.

“Di dalam kamar khas itu pun, menteri yang bertanggungjawab yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Azizah menjawab ia masih dalam kajian dan menyatakan kesukaran untuk melaksanakan perkara tersebut kerana beberapa kekangan termasuklah pertukaran akta, mestilah kekangan kewangan dan bermacam alasan lagi.

“Namun setelah didesak oleh ahli-ahli Parlimen tentang soal ini, akhirnya kerajaan menjawab bahawa, rupa-rupanya potongan sebanyak dua peratus itu hanyalah boleh dilaksanakan sekiranya pihak suami itu secara sukarela bersetuju untuk melakukan potongan tersebut,” ujarnya.

Justeru, beliau menyifatkan segala janji yang diberikan oleh PH terhadap rakyat itu hanyalah sekadar janji yang semberono tanpa ada kajian dari sudut undang-undang dan pelaksanaan terhadap apa yang mereka janjikan itu.

“Jelas hari ini bahawa segala janji-janji, khususnya janji potongan dua peratus KWSP untuk suri rumah itu hanyalah sekadar janji untuk memancing undi rakyat. Janji-janji yang dibuat ini adalah tanpa mengambil kira sama ada mereka mampu laksanakannya atau pun tidak.

“Dan hari ini terbukti, selepas 100 hari pentadbiran mereka, 10 perkara yang mereka janji akan lakukan dalam tempoh tersebut ternyata gagal untuk dilaksanakan, bahkan janji-janji mereka di dalam manifesto yang lain juga mereka akui sukar untuk direaliasikan,” tegasnya.

Soal beliau, apakah semasa BN memerintah dulu, negara tidak mempunyai hutang?

“Mengapa ketika BN memerintah, tidak timbul soal ini bahkan segala peruntukan kepada golongan yang memerlukan seperti petani, pekebun, termasuklah suri rumah berjalan lancar tanpa ada sebarang masalah yang kritikal sehingga tidak dapat dilaksanakan.

“Sampai bila kita mahu ada kerajaan yang sentiasa memberikan alasan itu dan ini untuk menutup kegagalan mereka dalam mengurus tadbir negara. Malah lebih malang lagi apabila kerajaan hari ini terus mempunyai mentaliti pembangkang walaupun telah menjadi kerajaan.

“Apa yang mereka tahu hanyalah untuk menyalahkan kerajaan terdahulu tanpa ada apa-apa perancangan masa hadapan untuk menjadikan segala kebaikan yang sedia ada hari ini lebih baik di bawah pentadbiran mereka,” tegasnya.-MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit